View: 1876|Reply: 0
|
Nooa, Luqman tambah kekuatan Harimau Muda
[Copy link]
|
|
Skuad Harimau Malaya B-23 kendalian E Elavarasan menjalani sesi latihan terakhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pagi tadi sebelum berlepas ke Chonburi, Thailand, esok. - Gambar FB FAM.
KUALA LUMPUR: Kehadiran dua pemain berpangkalan di luar negara, Nooa Laine dan Luqman Hakim Shamsudin mampu menambah kekuatan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara bagi menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 2024.
Malah, kelibat pemain itu juga dianggap mampu membentuk kombinasi terbaik dalam skuad kendalian E Elavarasan yang kali ini turut diperkuatkan dengan beberapa pemain bertaraf Liga Super.
Perancang tengah, Mukhairi Ajmal Mahadi menyifatkan kempen kelayakan yang akan berlangsung di Thailand bermula Sabtu ini juga menjadi medan terbaik buat Harimau Malaya B-23 bangkit selepas berdepan kekecewaan di Sukan SEA Kemboja dan Piala AFF B-23 sebelum ini.
"Kehadiran Nooa dan Luqman juga bagus untuk pasukan sebab kita tahu mereka bermain di tahap yang jauh lebih baik.
"Bagi saya ini semua kerja berpasukan, bukan individu dan saya harap mereka dapat sesuaikan diri dengan situasi sekarang dan rakan lain. Paling penting sebagai pemain bola sepak kita perlu lalui sebagai satu pasukan.
"Kita ada matlamat dan saya harap kita dapat buat kejutan sebab kita terlalu 'down' sekarang. Ini motivasi kepada kita sebab sebelum ini kita kalah, kalah dan kalah, jadi saya harap pemain dapat motivasikan diri untuk bangkit," katanya.
Skuad negara akan membuka aksi Kumpulan H berdepan Bangladesh, Rabu ini sebelum menentang Filipina (Sabtu) dan aksi terakhir melawan Thailand (12 September).
Sebelum ini, skuad muda negara berdepan prestasi mengecewakan apabila terkandas di peringkat kumpulan Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu sebelum hanya meraih tempat keempat dalam Piala AFF B-23, bulan lalu.
Selain itu, Mukhairi menjelaskan semua pemain harus memberi fokus sepenuhnya dan tidak memandang mudah terhadap kemampuan pasukan lawan dalam Kumpulan H.
"Semua ada tanggungjawab masing-masing dan saya harap apabila kita sampai di sini, kita dapat bersatu hati, main secara bersama dan ini cabaran untuk semua orang.
"Saya harap semua pemain dapat bermain sepenuh hati, bermainlah untuk Malaysia sebab kita tahu rakyat Malaysia nak tengok negara kita pergi lebih jauh," katanya.
https://www.bharian.com.my/sukan ... kuatan-harimau-muda |
|
|
|
|
|
|
| |
|