|

MOHD Hairul (kanan, berkerusi roda) meratapi jenazah keluarga adiknya yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Bapa saudara kepada Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, dan adiknya Abdullah, 15, yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa serta empat adik beradiknya maut dalam kemalangan di Kilometer 5 Jalan Segamat-Kuantan, di sini, semalam, bersedia menjaganya.
Mohd Hairul Nor Muhammad, 54, abang kepada arwah ibu Abdur Rahman berkata, beliau bersama ahli keluarga lain bersedia menumpang kasih sayang untuk dua anak saudaranya itu termasuk seorang yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.
Menurutnya, dia tidak sampai hati melihat dua anak saudaranya bergelar yatim piatu dan berharap mereka tabah menempuh ujian Allah SWT.
"Saya sanggup jaga cuma terpulang pada Abdur Rahman untuk membuat pilihan sama ada menetap di Kluang atau ke sini (Parit Lapis Darat)," katanya.
Dalam pada itu, ketika menceritakan berita duka diterimanya, Mohd Hairul berkata, pada hari kejadian dia berada di Johor Bahru sebelum menerima panggilan daripada polis.
"Polis tanya ada tak ahli keluarga naik Perodua Alza, saya tanya balik, warna apa? Dia (polis) cakap, merah, saya beritahu tak kenal kalau Alza jingga tu saya tahu la sebab adik saya (Allahyarham Noorahimah).
"Kemudian, saya mintalah polis sebut salah satu nama yang ada dalam kenderaan itu. Bila sebut nama Seri Khadijah Aqilah, saya beritahu yalah keluarga saya. Saya dah boleh agak masa bagaimana keadaan mereka.
"Tak boleh nak cakap apa-apa masa tu, jantung saya macam dah gugur. Hanya Allah tahu perasaan saya bila dapat tahu adik dan suaminya serta empat anak terkorban," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Lapis Darat, Parit Jawa.
Sementara itu, mangsa terselamat dalam tragedi meragut enam sekeluarga itu, masih lagi menerima rawatan di ICU.
Keadaan Abdullah, 15, dilaporkan stabil dan masih memerlukan alat bantuan penafasan serta pemantauan pihak hospital selepas menjalani pembedahan semalam.
Tragedi memilukan itu meragut nyawa Amir Ruddin Ismail, 46, dan Noorahimah Noor Muhamad, 43, serta empat anak mereka, Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... saudara-yatim-piatu |
|