Batu Kawan: Gelagat comel tiga kembar seiras yang mengenakan busana dan tudung sedondon sambil mengibarkan Jalur Gemilang menarik perhatian pengunjung yang menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Pulau Pinang, hari ini.
Walaupun masih tidak mengerti apa erti kemerdekaan namun Puteri Dhia Muhammad bersama dua adik kembarnya, Puteri Dian dan Puteri Diyana yang berusia dua tahun tetap bersemangat meraikan sambutan berkenaan.
Ibu mereka, Noor Hidayah Ibrahim, 31, berkata, ia adalah pengalaman pertama bagi tiga anak kembarnya melihat suasana sambutan hari kemerdekaan yang baginya perlu dipupuk biarpun ketika masih kecil.
"Saya dan suami ambil kesempatan untuk bawa mereka keluar. Sebelum ini belum ada keberanian kerana susah mengendalikan anak-anak yang masih kecil di tempat awam.
"Lega percubaan pertama kami bawa mereka keluar ke program seperti ini semuanya dalam keadaan baik dan lancar, ditambah dengan cuaca yang redup.
"Mereka juga sangat gembira bila tahu nak keluar dan siap seawal subuh untuk ke program ini," katanya ketika ditemui di luar perkarangan Stadium Negeri Batu Kawan, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia turut membawa anak sulung dan anak kedua masing-masing berusia tujuh dan lima tahun untuk memeriahkan suasana.
"Kami menetap di Parit Buntar, Perak dan kebetulan sambutan paling terdekat terletak di Batu Kawan yang bersempadan dengan tempat tinggal kami.
"Jadi, kami ambil kesempatan ke sini. Biarpun terpaksa tempuh kesesakan sikit untuk masuk ke sini (stadium) memandangkan orang terlalu ramai namun ia tidak menjadi penghalang bagi kami," katanya.
Perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan negeri menyaksikan 92 kontinjen kawad kaki dan 25 kontinjen kenderaan dari pelbagai agensi mengambil bahagian.
Lebih 10,000 pengunjung yang hadir turut disajikan dengan persembahan koir lagu patriotik, boria dan persembahan khas demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) termasuk boleh meninjau pelbagai pameran yang disediakan.
Sambutan dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.