View: 1664|Reply: 0
|
Teknologi VAR diguna musim depan
[Copy link]
|
|
SIVASUNDRAM menyaksikan pengadil tempatan bersama replay operator menjalani latihan fasa kedua VAR selama 17 hari di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam. – FAM
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah proaktif dalam memastikan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dapat digunakan pada kempen Liga Malaysia (Liga M) tidak lama lagi.
Menurut FAM, seramai 40 pengadil tempatan bersama 14 replay operator sedang menjalani latihan fasa kedua VAR bermula Sabtu lepas sehingga 11 September depan sebagai langkah persiapan pelaksanaan teknologi tersebut.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, badan induk itu sentiasa komited terhadap pembangunan serta kebajikan pengadil dan berharap pelaksanaan VAR dapat mengurangkan kesilapan dalam perlawanan.
“Ucapan terima kasih kepada Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Sheikh Salman Ibrahim Al Khalifa atas sokongan serta bantuan teknikal yang telah diberikan sepanjang latihan ini diadakan.
“Semoga dengan usaha bersama ini, barisan pengadil di Malaysia dapat menjalankan tugas dengan lebih baik pada penghujung latihan ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kursus latihan selama 17 hari di Wisma FAM, Kelana Jaya, itu dikendalikan tenaga pengajar VAR FIFA, Tamer Dorry dari Mesir dan dibantu pakar teknologi VAR dari Poland, Sebastian Andrzej Szelag.
Latihan fasa kedua itu meliputi aspek penggunaan simulator VAR dengan menggunakan 150 klip video bagi setiap pengadil dengan memberi penekanan terhadap aspek penggunaan teknologi simulator tanpa merencatkan kelancaran perlawanan.
Latihan VAR fasa ketiga dijangka diadakan pada November dan Disember ini dengan FAM menjangkakan teknologi itu dapat digunakan dalam saingan Liga M pada final Piala Malaysia, Disember ini.
Sebagai rekod, teknologi VAR digunakan di Malaysia buat kali pertama pada aksi final Piala AFC tahun lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil dan dikendalikan sepenuhnya oleh badan induk bola sepak Asia itu.
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... diguna-musim-depan/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|