CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1639|Reply: 0

[Pulau Pinang] Penangan hasil tangan 'Tailor Gila'

[Copy link]
Post time 26-8-2023 12:39 PM | Show all posts |Read mode

Tukang jahit Mahani Udit, 34, tidak menang tangan sibuk menghasilkan baju kostum merdeka untuk dijual sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di kedai miliknya Anggerik Rimba Alteration di Kompleks Bukit Jambul di sini. FOTO Danial Saad

Bayan Lepas: Ketibaan Hari Kebangsaan membawa limpahan rezeki buat pengusaha butik yang tular dengan panggilan 'Tailor Gila' di media sosial, Mahani Udit, 34, kerana menerima lebih 28,000 tempahan busana dan kostum bertema sambutan itu sejak awal tahun ini.

Ibu tunggal kepada tiga anak itu berkata ketibaan ulang tahun hari bersejarah negara itu tidak ubah seperti sambutan Aidilfitri buat dirinya dengan kali ini beliau menggajikan 10 tukang jahit dan 10 pembantu butik demi memenuhi permintaan pelanggan datang bertali arus terutama pada hujung minggu.

"Kalau diikutkan kami telah mula menyiapkan tempahan pukal sejak Januari lalu dan setakat ini kami berjaya hantar 28,000 helai busana selain ada lebih 15,000 stok sedia ada untuk pelanggan yang berkunjung ke butik.

"Alhamdulillah rezeki melimpah ruah tahun ini. Tahun lalu tidak sebanyak ini dan masuk bulan Mei lagi kami telah bekerja lebih keras dengan pasukan kami mampu menjahit 300 hingga 500 helai busana sehari," katanya ketika ditemui di butiknya di Bukit Jambul di sini, semalam.

Mahani yang mempunyai sepasang anak kembar itu berkata, dia mengakui perniagaannya menjadi lebih terkenal selepas pandemik Covid-19 hasil promosi meluas menerusi platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan YouTube selain hasil kerja tangannya turut dibeli personal shopper dan ejen dropship.

Dia bersyukur rekaan kostum dan busana yang dikeluarkan mendapat permintaan ramai daripada pelbagai peringkat usia termasuk banyak menerima pesanan secara dalam talian dari Sabah dan Sarawak selain negeri-negeri sekitar Semenanjung.

"Pada pandangan saya sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini lebih meriah kerana ia diraikan daripada peringkat sekolah tadika, sekolah rendah serta menengah selain disambut pada peringkat negeri dan kebangsaan.

"Sudah tentu ramai yang mahu melahirkan rasa patriotik mereka selain ramai mengambil bahagian dalam acara perbarisan dan pertandingan pakaian beragam sempena sambutan Hari Kebangsaan dan saya percaya trend ini akan berterusan sampai Hari Malaysia bulan depan," katanya.

Menurut Mahani, fesyen bermotif corak dan warna Jalur Gemilang seperti baju cheongsam, baju kurung, baju Melayu, busana ala pendekar, tanjak, kebarung, kebaya, kurta paling diminati ramai dan dijual pada harga serendah RM70 hingga RM800.

"Saya menggunakan material kain kapas yang selesa dipakai selain songket. Ada juga pelanggan minta saya buat rekaan yang lain daripada lain dengan perincian lebih sarat jadi harganya boleh mencecah ribuan ringgit.

"Orang kenal saya dengan panggilan 'tailor gila' dan gelar dengan pelbagai nama tapi saya tak gila saya bekerja saja 'gila-gila' dan saya sangat mencintai kerjaya saya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -tangan-tailor-gila

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-2-2025 08:26 PM GMT+8 , Processed in 0.053141 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list