![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/kibar_1693020455.jpg)
Ketua Menteri, Pulau Pinang, Chow Kon Yeow melepaskan peserta Program Jauliah Merdeka 4.0 2023, di pekaranganMasjid Jamek Jelutong, hari ini. NSTP/Danial Saad
GEORGETOWN: Tiada paksaan atau kompaun dikenakan terhadap mana-mana premis di Pulau Pinang yang tidak mengibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri menggalakkan rakyatnya mengibar Jalur Gemilang sebagai menunjukkan kesetiaan dan bersatu padu.
"Pulau Pinang tiada dasar demikian dan percaya ia mungkin akan beri kesan sebaliknya (jika dilaksana). Sepatutnya patriotisme atau program yang dianjurkan adalah atas semangat kecintaan kepada negara dan bukan menerusi paksaan.
"Perkara itu kerap dibicarakan sejak 10 tahun kebelakangan ini dan banyak pertikaian mengenai adakah dengan memasang bendera Malaysia akan menunjukkan semangat patriotisme?" katanya kepada media selepas Program Jaulah Merdeka 4.0 Tahun 2023, yang disertai 200 peserta konvoi motosikal sempena sambutan Bulan Kebangsaan ke-66, di pekarangan Masjid Jamek Jelutong, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kompaun sebanyak RM250 dikenakan terhadap semua premis perniagaan di bandaraya Ipoh yang enggan mematuhi notis arahan pemasangan Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan.
Selain Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) juga antara yang turut mengenakan kompaun kepada premis yang gagal mengibar Jalur Gemilang.