|
Liga Super: Helang Merah sambar 3 mata berharga di Bandaraya
Penang FC gagal menebus kekalahan di laman sendiri apabila ditumbangkan Kedah FC pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, malam tadi.
KEDAH terpaksa menunggu sehingga waktu kecederaan sebelum berjaya menjinakkan Penang FC 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara yang berlangsung penuh hangat di Stadium Bandaraya, malam ini.
Bermula seimbang, pelawat bagaimanapun terlebih dahulu di depan dengan jaringan seawal minit ketujuh oleh pemain tengah mereka, Mohd. Fadzrul Danel.
Seminit berselang, gol yang dicari Penang FC akhirnya menjelma apabila ayam tambatan mereka, Sonny Saad berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang Kedah susulan kekalutan yang berlaku di hadapan pintu gol skuad Helang Merah itu..
Penang FC berpeluang untuk berada di depan pada minit ke-66, namun, tandukan kapten mereka, Rafael Vitor sekadar menggegar palang gol pelawat.
Seminit kemudian, pemain tinggi lampai itu berjaya menebus kekecewaan tersebut apabila meledak gol kedua untuk tuan rumah. Bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan oleh pengadil, S. Logeswaran gara-gara berlaku kekasaran dalam kotak penalti.
Pergaduhan hampir tercetus akibat pembatalan gol itu termasuk melibatkan penyokong kedua-dua pasukan dan perlawanan juga semakin agresif sehingga menyaksikan pemain pertahanan tuan rumah, Muhammad Adib Abdul Ra’op dibuang padang pada minit ke-76 selepas menerima layangan kad kuning kedua.
Ketika perlawanan dilihat berkesudahan dengan keputusan 1-1, pemain import Kedah, Moses Atede Jona Atuluku muncul wira pelawat apabila rembatan kencangnya pada minit-minit kecederaan menerjah jaring sekaligus memastikan skuad Hijau Kuning pulang dengan tiga mata berharga.- KOSMO! ONLINE
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... harga-di-bandaraya/
|
|