|
Pemain Rennes, Jeremy Doku bakal menyertai Manchester City. - Foto AGENSI
LIVERPOOL: Sadio Mane mungkin menjadi punca kegagalan Liverpool menandatangani Jeremy Doku pada harga jauh lebih murah berbanding yang dipersetujui antara Rennes dan Manchester City.
City kendalian Pep Guardiola membuat tawaran 55 juta pound (RM322.11 juta) untuk pemain sayap berusia 21 tahun itu, dan mendapat persetujuan kelabnya, Rennes.
Doku, antara pemain muda paling berpotensi di Eropah ketika ini, menarik minat beberapa kelab besar termasuk Tottenham, City, West Ham dan Liverpool.
Pemain lulusan akademi Anderlecht itu menyertai kelab Ligue 1, Rennes pada tahun 2020, meledak enam gol dalam 29 penampilan liga musim lalu.
Pengendali Liverpool, Klopp berpeluang menandatangani Doku pada harga 500,000 pound (RM2.93 juta) ketika pemain itu berusia 15 tahun.
Doku ketika itu dibenarkan oleh kelabnya, Anderlecht untuk ke Merseyside bertemu Klopp dan pemain-pemain Liverpool.
Salah seorang daripadanya adalah Mane, yang tahun lalu berpindah ke Bayern Munich dan kemudian menyertai kelab Arab Saudi, Al-Nassr untuk bergandingan dengan Cristiano Ronaldo.
Sekiranya menyertai Liverpool ketika itu, Doku akan mewarisi posisi Mane di bahagian sayap, namun pemain Senegal itu pernah menasihatkan pemain remaja Belgium berkenaan untuk tidak menyertai The Reds.
"Ketika itu saya menghampiri usia 16 tahun, umur yang membolehkan anda menandatangani kontrak profesional.
"Banyak pasukan berjumpa saya - Liverpool antara yang paling berminat, begitu juga Arsenal dan Chelsea.
"Saya pergi (ke Liverpool) bersama ibu dan ayah saya, mereka membawa saya melawat stadium, padang latihan, dan sekolah yang bakal saya hadiri. Mereka memberikan jersi yang ditandatangani (Mohamed) Salah, dan saya bertemu pemain-pemain.
"Saya dapat berbincang dengan Jurgen, (Steven) Gerrard juga. Saya juga bertemu pemain-pemain, (Simon) Mignolet dan (Georginio) Wijnaldum," kata Doku.
Bagaimanapun selepas bertemu Mane, Doku merasakan belum tiba masanya untuk dia berpindah ke Anfield atas nasihat bintang Senegal itu.
"Saya bercakap dengan Mane dan dia beritahu saya, saya masih muda dan mempunyai banyak masa lagi. Dia tidak meyakinkan saya untuk berpindah ketika itu.
"Jadi saya memutuskan untuk kekal di Anderlecht," katanya.
Bagaimanapun ia mungkin nasihat tepat buat Doku yang pada usia 21 tahun sudah mengumpul 14 kap untuk skuad senior Belgium dan membuat penampilan sulung bersama Anderlecht pada usia 16 tahun.
Doku juga tidak menyesal mengambil keputusan berkenaan kerana baginya, Liverpool akan kembali mendapatkannya jika dia benar-benar menarik minat mereka.
Kini Doku bakal menyertai City dengan Guardiola melihatnya sebagai pengganti terbaik untuk Riyad Mahrez. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... k-tawaran-liverpool |
|