|
ODEGAARD menyempurnakan sepakan penalti ketika Arsenal menewaskan Palace pada aksi awal pagi semalam. - AFP
LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui terkejut selepas kapten pasukan, Martin Odegaard mengambil sepakan penalti yang menjadi gol kemenangan untuk menewaskan Crystal Palace 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam.
Pada aksi di Stadium Selhurst Park itu, Odegaard dilihat mengambil tanggungjawab tersebut dengan menyempurnakan sepakan penalti meskipun sebelum ini amanah itu diberikan kepada pemain sayap, Bukayo Saka.
Kata Arteta, keputusan mengenai siapa mengambil sepakan penalti diserahkan sepenuhnya kepada barisan pemain dan mungkin keputusan Odegaard adalah untuk membuktikan kepimpinan di atas padang.
“Secara jujur, saya tidak tahu kenapa Odegaard ambil sepakan tersebut, tetapi jika dia rasa yakin, saya tidak mempunyai masalah. Mungkin dia mahu buktikan kepimpinannya tetapi apa yang penting dia berjaya jaringkan gol,” katanya.
Sementara itu, Arteta turut memuji impak yang dipamerkan oleh pemain baharu, Declan Rice yang berjaya mendominasi jentera tengah meskipun pasukan beraksi dengan 10 pemain selepas Takehiro Tomiyasu dilayangkan kad merah.
“Kita boleh lihat kematangan Rice pada perlawanan kali ini kerana peranan yang diberikan agak berbeza ketika kita menang ke atas Nottingham Forest minggu lalu.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan prestasi pemain kerana semua tahu ini adalah gelanggang sukar dan apabila anda menang dengan 10 pemain, ia membuktikan bahawa mentaliti pemain cukup tinggi untuk bersaing,” katanya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... keputusan-odegaard/ |
|