|
PULISIC berjaya meledak satu gol dan umpanan jaringan ketika membantu Milan menewaskan Bologna pada aksi Serie A awal pagi semalam. - AFP
MILAN – Bintang baharu AC Milan, Christian Pulisic terus mencipta impak positif apabila meledak satu gol dan mencipta satu umpanan jaringan ketika menewaskan Bologna 2-0 pada aksi Serie A awal pagi semalam.
Pemain sayap berusia 24 tahun itu kini sedang mencipta semula kariernya bersama The Rossoneri selepas dijual Chelsea dengan yuran perpindahan bernilai €22 juta (RM111.62 juta) pada Jun lalu.
Pulisic membuat hantaran memperdayakan benteng Bologna membolehkan penyerang veteran Milan, Olivier Giroud membuka tirai jaringan pada minit ke-11.
Berselang 10 minit kemudian, giliran Pulisic mengukir nama sebagai penjaring apabila melakukan rembatan cantik untuk merekodkan jaringan pertamanya dalam kempen Serie A musim ini.
Ketua jurulatih Milan, Stefano Pioli tidak mengambil masa lama untuk memuji bekas pemain Borussia Dortmund itu yang kini mula membuktikan kemampuannya sebagai salah seorang aset penting mereka.
“Pulisic mempunyai bakat besar dan saya tidak pernah meraguinya. Apabila saya bercakap dengannya sebelum dia menandatangani kontrak, memang jelas dia akan membawa kualiti kepada pasukan ini.
“Jadi, saya dapat melihat banyak perkara bagus dalam perlawanan ini. Namun, masih ada juga beberapa perkara yang perlu kami tingkatkan,” katanya.
Selain Pulisic, Milan juga membawa masuk tujuh pemain baharu dalam jendela perpindahan ketika ini hasil penjualan Sandro Tonali ke Newcastle United. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... embali-di-ac-milan/ |
|