|
INSIDEN kontroversi pada penyerahan pingat dan trofi Piala Dunia Wanita membabitkan Rubiales dan Jenni. FOTO Agensi
Madrid: Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol, Luis Rubiales memohon maaf kerana mencium bibir pemain bintang, Jenni Hermoso selepas Sepanyol muncul juara Piala Dunia Wanita.
Rubiales, 45, mencium Jenni selepas dia mengambil medal selepas aksi final di Sydney, sekali gus membangkitkan kemarahan di Sepanyol.
"Sebenarnya, saya membuat silap dan perlu mengakuinya," kata Rubiales menerusi video yang disiarkan di media sosial oleh televisyen Sepanyol.
"Tindakan itu dibuat tanpa sebarang niat jahat pada detik yang sangat gemilang. Di sini, kami lihat ia sebagai normal dan semula jadi, tetapi di luar sana, ia menimbulkan kekecohan.
"Saya tiada pilihan kecuali memohon maaf dan belajar daripada kejadian ini. Apabila mewakili persekutuan, perlu lebih berhati-hati," katanya yang menyifatkan kekecohan itu sebagai 'tidak cerdik'.
Sebelum ini, kementerian sukan Sepanyol menggesa Rubiales supaya memohon maaf.
"Saya fikir tidak wajar mencium bibir pemain sebagai ucapan tahniah kepadanya," kata pemangku menteri sukan, Miquel Iceta menerusi radio Sepanyol.
"Perkara pertama perlu dilakukannya adalah membuat penjelasan dan kemudian meminta maaf, ia adalah perkara logik serta bertanggungjawab yang perlu dibuat," kata Iceta.
Rubiales pula mengakui dia memiliki perhubungan sangat baik dan kukuh dengan Jenni.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... bibir-pemain-wanita |
|