|
PEMAIN Chelsea kecewa selepas tumpas kepada West Ham pagi tadi. FOTO AFP
London: Mauricio Pochettino menggesa pemain Chelsea untuk 'percaya dengan proses' selepas jaringan hebat Michail Antonio dan kegagalan Enzo Fernandez menyempurnakan penalti menyaksikan The Blues kalah 1-3 kepada West Ham.
Selepas seri 1-1 dengan Liverpool hujung minggu lalu, pasukan bimbingan Pochettino mensia-siakan persembahan rancak apabila mereka sangat rapuh di bahagian pertahanan dan gagal menyempurnakan peluang di Stadium London.
Antonio meledak gol kedua West Ham selepas separuh masa pertama dan Lucas Paqueta menambah menerusi sepakan penalti lewat permainan tatkala Pochettino masih menunggu kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) pertamanya sejak mengambil alih tugas akhir musim lalu.
Pemain remaja Chelsea, Carney Chukwuemeka menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa pertama selepas West Ham terlebih dulu berada di depan hasil gol Nayef Aguerd.
Tetapi titik perubahan berlaku apabila sepakan penalti Fernandez diselamatkan oleh Alphonse Areola sejurus sebelum rehat.
Antonio menjaringkan gol sejurus selepas rehat dan Chelsea tidak dapat bertindak balas walaupun Aguerd dilayangkan kad kuning kedua.
Paqueta, yang dilaporkan menjadi subjek siasatan Persatuan Bolasepak England (FA) mengenai pelanggaran pertaruhan, meledak gol menerusi penalti di lewat permainan.
"Pasukan seperti kami, perlu mendapatkan keseimbangan yang betul. Saya rasa ada beberapa tindakan yang kami tidak uruskan dengan baik dan kami akur," kata Pochettino.
"Kami mencipta banyak peluang dan sepatutnya memenangi perlawanan sejak separuh masa pertama lagi.
"Ia sangat mengecewakan apabila kami terlepas sepakan penalti. Kami bermain dengan baik dan kami tidak mendapat ganjaran.
"Kecewa tetapi ini hanya permulaan. Kita perlu percaya pada proses itu."
Sejak musim lalu, Chelsea hanya menang lima kali dalam 31 perlawanan liga, manakala satu-satunya kemenangan mereka dalam 14 perlawanan liga adalah di Bournemouth pada Mei.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... a-proses-pochettino |
|