Georgetown: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Terubong, Andrew Ooi mendakwa dua peti undi di kawasan ditandinginya tidak ditutup dengan sempurna.
Selain peti undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Relau, di sini, yang dikesan kira-kira jam 11.30 pagi, satu lagi membabitkan peti undi di Dewan Komuniti Blok 4E Semarak Api, di sini.
Perkara itu didedahkan Oii ketika tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kira-kira jam 3 petang tadi.
"Satu daripada peti undi itu dikesan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Relau kira-kira jam 11.30 pagi tadi.
"Satu lagi peti undi di Dewan Komuniti Blok 4E Semarak Api di sini bukan sahaja tidak dimeterai, malah tidak dilekat label tertera logo atau lambang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikesan kira-kira jam 1.50 tengah hari.
"Jadi bila saya buat aduan, petugas bawa keluar pelekat dan tali pengikat dan saya mempunyai keraguan bahawa mereka boleh membuka atau menutup peti undi itu pada bila-bila masa.
"Peti undi adalah perkara serius, bila saya tanya alasan mereka kata terlupa...jika satu tempat okey lagi (mungkin terlupa) tapi kalau dua tempat berlaku kami tak boleh terima," katanya ketika ditemui pemberita di luar perkarangan IPD Timur Laut, hari ini.
Ooi berkata, berikutan itu proses pengundian di pusat mengundi pertama di SK Seri Relau tergendala selama dua jam, manakala di tempat kedua beliau melihat proses pengundian diteruskan seperti biasa selepas isu itu diatasi petugas.
"Saya cadangkan diadakan semula pengundian di dua pusat itu kerana ia tidak adil untuk semua pihak. Kalau nak menang, harus dengan cara yang betul," katanya.
Difahamkan SPR akan memberi kenyataan lanjut berhubung isu terbabit dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, media melaporkan 177 kertas undi dimasukkan dalam peti undi tidak berkunci di pusat mengundi di SK Seri Relau.
Sehubungan itu, Ooi memohon SPR menghentikan proses pengundian di saluran terbabit yang mempunyai 719 pengundi sebelum ia disambung semula kira-kira jam 1.56 petang.