Bayan Lepas: Seorang warga emas yang yang hidup berbelas tahun menggunakan air telaga tidak berniat menjadi bahan kempen calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Bayan Lepas, Dr Dominic Lau baru-baru ini.
Wanita yang ingin menggunakan nama samaran Rahimah, 69, itu berkata, dia hanya berkongsi kisah benar selain turut bercerita rumahnya tidak dilengkapi bekalan elektrik ketika dikunjungi Lau yang juga Presiden Gerakan kelmarin.
"Rumah mak cik memang tiada elektrik kami tarik bekalan elektrik dari rumah jiran. Mereka cuma minta bayaran seikhlas hati dua bulan sekali. Mak cik tak minta simpati tapi kalau ada orang nak bantu urusan masuk air, elektrik mak cik bersyukur.
"Mak cik sudah biasa guna air telaga. Anak lelaki mak cik akan datang setiap hari tolong ceduk air selepas dia balik bekerja," katanya ketika ditemui di Sungai Batu di sini, hari ini.
Semalam, Lau memuat naik video berdurasi tiga minit 19 saat di laman TikTok miliknya memaparkan kesulitan hidup seorang warga emas yang tidak mempunyai kemudahan bekalan air bersih dan elektrik selain mempersoalkan pentadbiran kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang.
Rahimah berkata, dia tidak berniat menaikkan atau menjatuhkan sesiapa dan tidak menyangka kisahnya akan dijadikan modal politik sehingga mengundang perasaan kurang senang sesetengah pihak.
Katanya, susulan video yang meraih lebih 23,000 tontonan itu ada pihak meminta keluarganya menyaman Dominic kerana disifatkan mengaibkan keluarga mereka namun dia tidak bercadang untuk mengambil tindakan sedemikian.
"Dominic tak beli mak cik dengan duit. Percakapan mak cik kepada dia benar bukan nak menjatuhkan sesiapa bukan putar alam. Bagi mak cik siapa naik serupa, siapa jatuh pun serupa.
"Kalau depa (mereka) nak kutuk, umpat terpulang orang ramai nak buat isu apa mak cik terima bila dah sampai masa, mak cik akan 'balik' (meninggal dunia) belakang masjid," katanya.
Ibu kepada lima anak itu berkata cucunya turut tinggal bersamanya dan dia turut mendapat bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain sumbangan makanan yang tidak putus-putus dari orang ramai.
Katanya, dia yang menghidap beberapa jenis penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, asma selain perlu mengambil ubat sawan dan lazimnya menjalani pemeriksaan rutin di Hospital Balik Pulau setiap bulan.
"Alhamdulillah anak ada bantu rumah yang mak cik tinggal ini pun ada anak keluarkan wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) baik pulih apa yang patut. Cucu juga selalu bawa mak cik makan di luar.
"Rumah yang mak cik duduk sekarang ini orang Umno tolong bina masa kepimpinan (bekas) Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib (Razak) dulu," katanya yang kini tinggal di tanah berstatus Lesen Kependudukan Sementara (TOL).