|
GVARDIOL sah menyertai City selepas melengkapkan perpindahan dari Leipzig pada jendela perpindahan kali ini. - AFP
MANCHESTER – Bintang baharu Manchester City, Josko Gvardiol anggap perpindahannya ke Liga Perdana Inggeris dan bermain dibawah kendalian Pep Guardiola sebagai mimpi jadi kenyataan.
Mengakui tidak sabar untuk melakukan debut bersama The Citizens, Gvardiol turut merasakan dirinya dihargai apabila bakat dimiliki ditagih oleh kelab besar seperti City.
“Saya sentiasa bercita-cita untuk bermain di England dan sekarang saya sudah bersama Manchester City. Semua orang sudah lihat apa yang kelab ini lakukan musim lalu dan mereka adalah pasukan terbaik di dunia.
“Untuk memenangi kejuaraan trebel sudah menjelaskan segala-galanya tentang kualiti kelab ini. Jadi, ia sesuatu yang cukup istimewa kerana berpeluang bekerja dengan Pep Guardiola.
“Untuk bergandingan dengan Mateo Kovacic juga sesuatu yang istimewa. Saya pasti permainan saya akan bertambah baik di bawah jurulatih terbaik,” katanya.
City kelmarin mengesahkan kehadiran Gvardiol dari RB Leipzig dengan perjanjian kontrak selama lima tahun.
Sebagai rekod, Gvardiol menjadi pembelian kedua City dalam pasaran perpindahan musim ini selepas skuad bimbingan Pep Guardiola itu mendapatkan Kovacic daripada Chelsea bulan lalu. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... vardiol-terlaksana/ |
|