BELLINGHAM diberi ucapan tahniah oleh rakan sepasukan ketika Madrid menentang Manchester United bulan lalu.
Madrid: Real Madrid mempertaruhkan pemain tengah England Jude Bellingham untuk merampas gelaran LaLiga daripada Barcelona selain menjadi pencabar terkuat dalam memburu gelaran ke-15 Piala Eropah.
Pemain berusia 20 tahun itu menepati reputasinya apabila gergasi Sepanyol itu melabur 103 juta euro (RM515 juta) dan 30 juta (RM150 juta) lagi tambahan lain untuk menandatanganinya dari Borussia Dortmund sekali gus pembelian kedua termahal dalam sejarah kelab.
Bellingham pantas mencetus impak di bilik persalinan apabila pemain dan rakan sepasukan gembira dengan prestasinya ketika jelajah pramusim.
Pemergian penyerang termasuk pemenang Ballon d'Or Karim Benzema dan pemain Sepanyol Marco Asensio menyebabkan Real kekurangan peledak dengan hanya Joselu ditandatangani dari Espanyol.
Buat masa ini Real kekurangan penyerang prolifik untuk menggantikan Benzema dan jurulatih Carlo Ancelotti menyandarkan harapan kepada Bellingham yang dianggap versatil.
Persembahan Bellingham mendapat pujian meluas oleh media Sepanyol dan persefahamannya dengan Vinicius menggembirakan Ancelotti.
"Bellingham pemain tengah yang lengkap dan berbeza daripada pemain lain kami miliki," kata jurulatih dari Itali itu kepada wartawan ketika kunjungan pramusim Real ke Amerika Syarikat.
"Dia pemain fantastik. Pasukan perlu membiasakan diri dengan kualitinya yang luar biasa. Kehadirannya dalam kotak penalti sangat penting kepada pasukan.
"Dia sangat penting kepada kami kerana dia mempunyai banyak ruang dan intensiti dalam permainannya. Dia bergerak sangat lancar tanpa bola.
"Dia bijak mencari ruang kosong dan sekali gus menambah satu lagi kualiti dalam skuad fantastik ini."