|
BUFFON mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 45 tahun. - AFP
ROM – Penjaga gol legenda Itali, Gialuigi Buffon mengumumkan persaraannya dalam karier bola sepak profesional pada usia 45 tahun selepas dua musim beraksi bersama pasukan zaman remajanya, Parma pada saingan Serie B.
Kontrak Buffon bersama kelab itu sepatutnya berakhir pada Jun 2024, namun dia membuat keputusan untuk memendekkannya dan mengumumkan persaraan selepas 28 tahun meraih pelbagai kejayaan dalam dunia bola sepak bersama beberapa pasukan.
“Ia sudah berakhir. Anda semua telah memberikan segala-galanya buat saya dan saya juga begitu. Kita telah sama-sama melakuannya,” kata Buffon dalam satu video yang dimuat naik di laman sosial.
Buffon merupakan salah seorang penjaga gol terbaik sepanjang zaman dan menghabiskan hampir dua dekat bersama Juventus sebelum berhijrah ke Paris Saint-Germain selama 12 bulan pada musim 2018/19.
Dia membuat debut bersama Parma pada 1995 ketika berusia 17 tahun dan empat tahun kemudian meraih kejuaraan Piala Itali, Piala UEFA, Piala Super Itali bersama pasukan itu sebelum berhijrah menyertai Juventus pada 2001 dengan rekod perpindahan sebagai penjaga gol termahal ketika itu.
Bersama The Old Lady, Buffon berjaya meraih 10 gelaran Serie A sepanjang 19 musim selepas pasukan itu diturunkan ke saingan Serie B pada musim 2006/07 ekoran skandal mengatur perlawanan.
Dia turut merangkul lima gelaran Piala Itali serta enam trofi Piala Super Itali selain mara ke pentas final Liga Juara-Juara bersama pasukan itu, namun gagal meraih sebarang kemenangan.
Buffon juga masih memegang rekod sebagai pemain yang paling banyak membuat penampilan bersama pasukan kebangsaan Itali menerusi 176 kap selepas membuat debut pada 1997 dan turut membantu The Azzurri menjulang gelaran Piala Dunia pada 2006. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/08 ... uffon-temui-noktah/ |
|