|
SOLARI enggan memandang rendah keupayaan pasukan Kelantan yang berwajah baharu. FOTO ARKIB NSTP
Johor Bahru: Selepas menjulang Piala FA dua musim berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) ingin meneruskan legasi mengekalkan kejuaraan dengan pemburuan seterusnya adalah Piala Malaysia yang bermula malam esok.
Lawan JDT tampak mudah apabila berdepan pasukan tercorot Liga Super, Kelantan FC yang diibarat pertembungan 'langit dan bumi' pada aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, di Kota Bharu.
Semestinya selaku juara bertahan, keinginan mempertahankan piala berprestij yang dimenangi pada musim lalu itu menjadi agenda utama skuad kendalian Esteban Solari.
Namun, beliau tampak enggan memandang rendah skuad The Red Warriors yang mampu lakar kejutan jika bersikap sambil lewa dalam perlawanan itu nanti.
"Ia pertandingan penting bagi kami dan selaku juara bertahan, kami mahukan kejuaraan ini buat kali kedua dan saya akan membuat persiapan rapi selain memperkemaskan lagi corak permainan pasukan walaupun kami dipalit masalah kecederaan pemain .
"Untuk aksi Piala Malaysia, kemungkinan akan ada rombakan dalam kesebelasan utama selepas kami kerap menurunkan pemain sama dalam skuad utama dan mereka perlu rehat kerana mengharungi jadual perlawanan yang ketat.
"Akan ada penggiliran pemain, tetap turunkan barisan terbaik, malah tindakan menggilir pemain bukan bererti kami tidak serius mempertahankan kejuaraan itu, sebaliknya ia sudah disasarkan bagi memburu piala berprestij itu," katanya.
Rekod jelas memihak JDT apabila dua kali menewaskan Kelantan pada aksi Liga Super dengan keputusan 5-1 pada aksi 11 Mac lalu dan 5-0 pada aksi 14 Julai lalu.
Solari berkata, walaupun Kelantan berada di tangga tercorot liga, ia tidak bererti JDT akan mendapat laluan mudah memandang permainan pasukan dibentuk jurulatih, Angel Vera itu tampak semakin baik dengan kehadiran beberapa pemain import baharu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... main-lawan-kelantan |
|