BAYAN LEPAS: Bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin yang agak tenggelam dalam arena politik negara hari ini turun padang membantu kempen calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas merangkap Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau.
Bekas Ahli Parlimen Ampang itu berkata beliau tidak 'berehat' daripada politik dan berhasrat membantu Perikatan Nasional (PN) menembusi kawasan bukan Melayu sekali gus meraih sokongan untuk PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
"Saya lebih menumpukan kepada usaha membantu PN menembusi kawasan bukan Melayu serta mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu kerana saya rasa saya boleh main peranan itu.
"Sebab itu saya membantu GERAKAN agar saya dapat membawa satu imej yang lebih terbuka, neutral yang boleh diterima semua lapisan masyarakat," selepas sesi tinjauan mesra di Jalan Mahkamah dan Pasar Sungai Ara di sini, hari ini.
Turut menyertai jentera kempen Lau hari ini ialah Ketua Penerangan Pemuda PN Pulau Pinang, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid.
Zuraida ketika ditanya adakah beliau berminat menyertai GERAKAN tidak menolak kemungkinan itu namun kehadirannya ketika ini adalah sebagai aktivis politik untuk PN dengan misi membantu memenangkan calon gabungan itu.
Selain itu, beliau turut bercadang tampil di pentas ceramah PN dalam memberi penerangan terutamanya membabitkan isu berkaitan pengalamannya selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
"Hasrat saya membantu PN mendapatkan pengundi bukan Melayu kerana saya lihat PAS sudah ramai pemimpin Melayu, BERSATU ada Tan Sri Muhyiddin Yasin, (Datuk Seri) Azmin Ali, ada Peja (Datuk Seri Faizal Azumu).
"Mungkin... ada kemungkinan (masuk GERAKAN) saya akan cari platform yang saya sebut akan membawa kepelbagaian bangsa," katanya.
Zuraida berkata beliau memahami kebanyakan rakyat Pulau Pinang masih kuat menyokong Pakatan Harapan (PH) namun berharap pengundi di kawasan itu memberi sokongan kepada Lau bagi memastikan semak imbang dalam tadbir urus kerajaan negeri ke arah lebih baik.
"Dominic membawa wadah lebih inklusif walaupun dia calon GERAKAN mewakili PN dia juga boleh menjadi pemimpin masyarakat Cina, India dan Melayu bukan DAP saja boleh pimpin, GERAKAN juga boleh.
"Penampilan dia bersopan santun akan dapat menambat hati orang Melayu selain menembusi pengundi bukan Melayu di sini yang kita rasa kuat lagi menyokong kepada PH jadi dengan adanya Dominic dapat menambat dua kelompok pengundi ini.
"Saya lihat dia lemah lembut tahu adat orang Melayu budaya macam inilah yang kita nak kerana dia boleh bawa diri dia menyesuaikan diri dalam masyarakat Melayu, India, Cina jadi kalau orang Bayan Lepas undi Dominic tak akan menyesal kerana dia akan berkhidmat, tiada masalah," katanya.