Changlun: Sebuah stor haram di kebun getah di sini membongkar kegiatan penyelewengan minyak petrol.
Penemuan stor penyimpanan bahan api itu didapati selepas pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menyerbu stor penyimpanan barang kawalan itu, 7 pagi semalam.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, operasi itu adalah berdasarkan sumber Unit Risikan pejabat KPDN Kedah yang dilakukan hampir dua minggu.
Beliau berkata, ketika serbuan, tiada penghuni berada di situ dan hasil pemeriksaan menemui sembilan unit Intermediate Bulk Container (IBC Tank) yang berisi minyak petrol dianggarkan hampir 2,000 liter.
"Turut ditemui beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan.
"Anggaran nilai rampasan minyak petrol adalah sebanyak RM4,100, manakala anggaran keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM12,700," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Affendi berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.