Tasek Gelugor: Meskipun menghidap penyakit paru-paru, Naszulkarnaen Nyan gagahkan juga dirinya untuk mencari rezeki dengan mengutip kotak dan besi buruk.
Kerja itu dilakukan bagi menyara anak istimewanya, Nurjiha Nasuha, 11, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) pembelajaran juga mencari wang untuk menampung kos rawatan dialisis isterinya, Mazni Rambli, 46.
Naszulkarnaen, 46, yang menetap di Kampung Merbau Kudung di Sungai Dua di sini berkata, rutin mencari kotak dan besi buruk dilakukan hampir setiap hari bermula 9 malam.
"Saya biasanya bergerak sendiri dengan menaiki kereta lama dan ronda mencari tong sampah untuk mengutip kotak terpakai atau besi buruk.
"Ada masanya, saya dapat selongkar dalam 40 tong sampah dan lazimnya kerja sampai 4 atau 5 pagi sebelum pulang ke rumah tetapi pernah juga tertidur di dalam kereta kerana letih.
"Pagi keesokannya iaitu sebaik saja kilang beroperasi, saya akan ke sana untuk jual bahan kutipan dan boleh dapat dalam RM40 sehari.
"Itu kalau bekerja kerana pernah juga tak pergi (bekerja) jika badan tak larat memandangkan saya cepat penat sejak sakit tujuh tahun lalu dan hanya ada satu paru-paru saja dengan sebelah kiri sudah dibuang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Naszulkarnaen berkata, sebahagian wang diperoleh itu digunakan untuk membeli makanan.
"Sebahagian lagi disimpan bagi menampung kos rawatan dialisis isteri yang menghidap penyakit buah pinggang dan perlu melakukan 13 sesi dalam sebulan.
"Dulu, saya kerja dalam bidang pendawaian namun sejak sakit tak boleh kerja tetap dan hanya larat untuk kutip kotak serta besi buruk saja.
"Jika bernasib baik, saya terjumpa duit ketika selongkar tong sampah tetapi bukan selalu pun.
"Pernah juga saya pengsan waktu buat kerja tanpa siapa sedar tapi tiada pilihan kerana perlu kerja juga untuk sara anak dan isteri.
"Lagipun, kami sekeluarga hanya dapat bantuan bulanan RM450 sumbangan pihak zakat," katanya.
Sementara itu, Mazni berkata, dia juga membantu suami mencari rezeki dengan mengutip kotak dan besi buruk sebelum ini.
Bagaimanapun, penyakit buah pinggang dialaminya menyebabkan doktor mengesyorkannya berhenti dan berehat.
"Saya mula tak bekerja sebelum Ramadan lalu dan kini, suami saja keluar itu pun kalau dia larat.
"Disebabkan kesempitan hidup, kami sekeluarga pernah ikat perut malah saya juga ada meminjam wang dengan rakan dan ahli keluarga kerana terdesak.
"Bagaimanapun, saya dan suami selalu pesan kepada satu sama lain untuk reda, terima ujian Allah SWT, hadapinya dan abaikan kata negatif kerana memang ada yang memperlehkan kami," katanya.
Biarpun diuji dengan kesusahan, Mazni berkata, dia dan suami tetap menghantar anak mereka ke sekolah iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua di sini, dalam aliran Pendidikan Khas.
"Kami tak nak anak ketinggalan dalam pelajaran dan sebab itu hantar juga dia ke sekolah.
"Walaupun ada ketikanya tertekan dengan ujian, saya bersyukur kerana masih ada tempat berteduh juga sedar ramai lagi orang yang susah dan kurang bernasib baik di luar sana.
"Saya juga bersyukur kerana dalam kesusahan, masih ada sudi membantu, seorang daripadanya adalah Steven Sim Chee Keong (Timbalan Menteri Kewangan II dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam) yang tawarkan bantuan baik pulih rumah pusaka peninggalan keluarga saya.
"Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua yang sudi dan pernah membantu, hanya Allah SWT saja dapat membalas jasa anda semua," katanya.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank, 200510100158502 atas nama Naszulkarnaen Nyan.