BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua individu yang menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen sekitar Pulau Pinang dalam satu serbuan di sebuah premis di Bandar Perda, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Assisten Komisioner Tan Cheng San, berkata serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.
"Dalam serbuan itu, polis menahan dua suspek berusia 22 dan 28 tahun yang menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen sejak tahun lalu.
"Hasil semakan mendapati dua suspek ini tidak mempunyai sebarang rekod lampau ," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, polis turut merampas tiga unit telefon pintar bersama puluhan keping kad perniagaan serta buku bil yang digunakan suspek dalam kegiatan itu.
"Polis akan terus berusaha meningkatkan usaha bagi memerangi kegiatan pinjaman wang tanpa lesen habis-habisan," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.