|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm261pikap_1689829781.jpg)
KENDERAAN pikap Toyota Hilux yang dinaiki Khairulnizam bersama bakal tunangnya, Syifa yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan Khairulnizam maut. FOTO ihsan Pembaca
Jitra: "Mereka sepatutnya melangsungkan pertunangan esok tapi tak sangka kemalangan itu berlaku menyebabkan bakal tunang anak saudara saya meninggal dunia dalam kemalangan malam tadi, " kata Amri Ali, 32.
Amri adalah bapa saudara kepada Nurul Syifa Ahmad Shukri, 26, yang terselamat dalam kemalangan di Kilometer 20.7 Lebuhraya Utara Selatan, selepas lampu isyarat Asun, di sini malam tadi.
Bagaimanapun bakal tunangnya, Mohd Khairulnizam Abdullah, 25, meninggal dunia dalam kemalangan itu.
Kemalangan jam 9.40 malam tadi dipercayai berlaku apabila pasangan itu yang menaiki sebuah pikap Toyota Hilux, dipercayai terbabas ke kiri sebelum terlanggar pokok dan terbalik.
"Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Bukit Minyak, Pulau Pinang kerana Nurul Syifa bekerja di sana untuk pulang ke rumahnya di Kampung Penia, Mukim Malau, di sini.
"Saya difahamkan mereka singgah makan sebelum pulang ke rumah dan ketika kejadian hujan lebat.
"Segala persiapan untuk majlis pertunangan esok sudah dibuat namun kami sekeluarga reda," katanya.
"Nurul Syifa kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana mengalami kecederaan patah paha kanan serta luka di bibir serta telinga," katanya yang menyifatkan arwah Mohd Khairulnizam seorang yang baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, ketika kejadian, pemandu yang ketika itu berada di lorong kanan secara tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kiri lalu terlanggar beberapa batang pokok dan terbalik.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan dihantar ke Hospital Jitra untuk menerima rawatan.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Forensik Hospital Jitra untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mpat-bertunang-esok |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|