![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhsprm18_1689673037.jpg)
Dua pengarah syarikat di Mahkamah Majistret Georgetown, direman tiga hari bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berhubung kerja reka bentuk kotak rokok bernilai lebih RM1.2 juta. NSTP/Zuhainy Zulkiffli
GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berhubung kerja reka bentuk kotak rokok bernilai lebih RM1.2 juta, sedangkan ia tidak pernah dilaksanakan pada 2019.
Sumber berkata, kedua-dua lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu adalah pengarah di syarikat berbeza, ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.
Menurut sumber itu, seorang suspek yang ditahan adalah pengarah di sebuah syarikat pembuatan rokok manakala seorang lagi bekerja di sebuah syarikat berasaskan kesihatan.
Susulan penahanan itu, Majistret Mohamad Azlan Basri membenarkan kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini hingga 20 Julai 2023 selepas SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Georgetown, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim yang mengesahkan penahanan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.10 pagi dengan berpakaian lokap serta diiringi pegawai SPRM.