![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/zalihak_1689658528.jpg)
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (dua dari kanan) diiringi Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah (kanan) berbual dengan pesakit kanser yang menerima rawatan, Muhammad Arsyad Khairul Anuar, 27, pada majlis pelancaran Pusat Perubatan Sunway Pulau Pinang, Seberang Jaya di sini. - Foto DANIAL SAAD
BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti serta menjalankan siasatan berhubung dakwaan tangan bayi berusia dua bulan mengalami bengkak dan bernanah selepas menerima rawatan demam campak di Hospital Melaka.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, adakalanya ia berlaku disebabkan prosedur biasa dan bukan semua kes boleh diletakkan di bawah 'medical legal'.
"Contoh bengkak tangan akibat daripada prosedur injection (suntikan) itu adalah biasa dan kita akan beri rawatan yang sepatutnya kepada pesakit," katanya selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki mendakwa tangan anak saudaranya berusia dua bulan mengalami
bengkak dan bernanah ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM) baru-baru ini.
Individu dikenali sebagai Mohamad Izwan memuat naik hantaran di media sosial yang mendakwa berlaku kecuaian oleh kakitangan HM ketika memberikan rawatan.
Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada pihak hospital untuk memulakan siasatan secepat mungkin.