GEORGETOWN: Polis menahan dua lelaki selepas disyaki menggunakan 30 keping wang palsu RM100 berjumlah RM1,000 bagi membeli tambah nilai Touch 'n Go, di sebuah kedai.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata pihaknya menerima aduan daripada Penolong Pengurus Stor kedai serbaneka 24 jam pada 8 Julai lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek menggunakan enam keping wang kertas bagi membeli tiga kupon tambah nilai Touch 'n Go.
"Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek lelaki warga tempatan di kawasan Georgetown pada jam 11.30 malam hari yang sama.
"Siasatan lanjut mendapati suspek membeli sebanyak 30 keping wang palsu RM100 pada harga RM1,000 daripada seorang lelaki warga tempatan yang dikenali menerusi laman sosial Instagram," katanya dalam kenyataan, di sini semalam.
Mengulas lanjut Soffian berkata, susulan itu serbuan dijalankan ke atas rumah suspek di Bukit Mertajam, di sini dan merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dan tujuh keping kupon tambah nilai Touch 'n Go.
Katanya, bertindak atas maklumat kemudian, polis berjaya menahan seorang lagi lelaki warga tempatan yang juga suspek kedua pada Selasa lalu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana kesalahan menggunakan wang palsu.