|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pamerpan1_1688454778.jpg)
PELBAGAI jenama lampin pakai buang yang dijual di pasaran. FOTO Wan Izzati Amir
Kuala Lumpur: Ibu bapa masih mempunyai pilihan meskipun berlaku kenaikan harga beberapa jenama lampin pakai buang dalam pasaran ketika ini.
Tinjauan mendapati harga lampin pakai buang untuk bayi boleh didapati dari RM24.90 sehingga RM50.90 mengikut jenama, saiz dan kuantiti yang berbeza.
Malah, kenaikan harga antara RM1 hingga RM2 hanya membabitkan jenama yang tertentu sedangkan ada jenama yang tidak berlaku kenaikan harga langsung.
Pembantu kedai, Aina Humaira Azaidin, 21, berkata tiada kenaikan harga secara mendadak setakat ini dan jika ada ia hanya membabitkan jenama tertentu sahaja.
"Terdapat jenama yang mengalami kenaikan harga tetapi hanya sekitar RM1 hingga RM2. Boleh dikatakan pembekal juga masih mengekalkan harga standard," katanya.
Menurutnya, setakat ini tiada rungutan yang diterima daripada pelanggan berkaitan harga lampin pakai buang.
Sementara itu, suri rumah, Shamsiah Mohd Alia, 48, berkata, pengguna perlu bijak dalam memilih jenis lampin pakai buang mengikut kemampuan berdasarkan harga.
"Sebagai ibu bapa, kita perlu bijak untuk membuat pilihan lampin pakai buang mana yang sesuai dengan anak.
"Memang harga lampin pakai buang sedikit naik tapi bergantung jenama apa yang dibeli, bukan semua naik harga," katanya.
Seorang lagi, suri rumah, Farah Shahada, 29, berkata dalam berdepan dengan kenaikan harga, ibu bapa perlu mencari kaedah lain supaya tidak dibebani dengan perbelanjaan yang tinggi.
"Ibu bapa boleh mengajar anak supaya membuang air besar di tandas di awal usia supaya tidak terlalu bergantung dengan lampin pakai buang.
"Sedikit sebanyak boleh menjimatkan perbelanjaan dan anak juga dapat berdikari lebih awal," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ai-buang-naik-harga |
|