PERMATANG PAUH: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Dewan Ulama PAS menjelaskan beberapa persoalan mengenai kekeliruan yang ditimbulkan dalam kalangan ahli mahupun penyokong parti itu sejak kebelakangan ini.
Anwar berkata, ulama dari parti itu sepatutnya perlu memberi teguran kemudian memperbetulkan kesilapan terhadap apa jua kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan umat.
"Ini saya nak tanya. Media dengar baik-baik sebab apa (ulama PAS) tak bagi teguran dan betulkan kesilapan seperti ini.
"Yang pertama (dakwaan) Nabi Adam turun di Gunung Jerai, saya nak minta dewan ulama jawab betul ke tak.
"Kemudian Saidina Uthman Affan sampai ke Kedah. Kalau tak betul tolong betulkan.
"Mengapa tidak ditegur apabila ada ustaz yang mendakwa ada masjid di Pulau Pinang dijadikan tokong dan apakah benar orang yang tidak bersama PAS dikatakan musuh Allah. Kalau betul (musuh Allah) kenapa Tuan Guru (Tan Sri) Nik Abdul Aziz Nik Mat (Allahyarham) dulu sokong saya menjadi Perdana Menteri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang bersama penduduk Kampung Sama Gagah di luar perkarangan Masjid Jamek Al-Qadri, di sini, hari ini.
Tanpa menyebut nama, beliau menegaskan persoalan itu perlu dijawab sebagai parti yang menegakkan Islam dan tidak perlu sehingga dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Fatwa atau Majlis Agama.
"Ini masalah umat ribuan penyokong yang walak (patuh) dan ia tak betul, kita dakwah tetapi kita izinkan kepalsuan.
"Mereka (PAS) kena jawab baru betul dakwah dengan hikmah bukan dengan parti.
"Allah angkat darjat Islam itu yang tertinggi bukan parti, yang mana (betul) ikut kita hormat dan jangan kita ganti pula hadis itu sehingga mengelirukan," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, bekas Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Kedah, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli memohon maaf dan membuat penjelasan berhubung ucapannya yang mendoakan agar Kedah tidak jatuh kepada 'musuh Allah' pada 24 Jun lalu.
Dalam ucapan ketika menyampaikan Tausiah sempena Himpunan Kedah Berselawat, Muhd Zainul berharap agar 'Allah mempertahankan negeri ini (Kedah) daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh Allah SWT dan dimenangkan agama Allah SWT'.