|
Kuala Lumpur: Empat lelaki termasuk dua anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan merompak seorang lelaki membabitkan nilai jutaan ringgit, Mei lalu.
Bagaimanapun, tertuduh Sarjan Ahmad Shahrizan Ab Rahman, 42, dan Sarjan Mohamad Shawal Chekman, 40, yang bertugas di Bukit Aman bersama Khairul Anwar Ahmad, 40, dan Muhammad Firdaus Zainal, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama melakukan rompak berkumpulan ke atas Mohammad Syafiq Hazane Dzulfikri, 25, di sebuah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju, dekat sini, pada 8.30 malam, 25 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan juga sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip, manakala kedua-dua anggota polis diwakili Mohamed Yazzer Azzad Zainudin.
Sementara, Khairul Anwar dan Muhammad Firdaus pula diwakili Mohamad Rohan Mohamad Razi.
Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Nidzuwan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh kerana kesalahan terbabit tidak boleh dijamin.
"Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mencadangkan keempat-empat tertuduh dijamin RM50,000 dengan seorang penjamin kerana ia membabitkan nilai rompakan jutaan ringgit," katanya.
Mohamed Yazzer memohon mahkamah membenarkan kedua-dua anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang rendah.
"Tertuduh pertama iaitu Ahmad Shahrizan sudah bercerai dan kini menanggung empat anak berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia selama 16 tahun dan berpendapatan RM3,000 sebulan.
"Anak guam saya juga pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2009 dan 2018," katanya.
Mohamed Yazzer berkata, Mohammad Shawal menanggung empat anak dan pernah menerima anugerah sama pada 2021.
Sementara itu, Mohamad Rohan mewakili dua lagi tertuduh memohon kedua-dua anak guamnya diikat jamin RM3,000.
Mahkamah membenarkan empat tertuduh itu masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 31 Julai ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -rompak-berkumpulan |
|