View: 138|Reply: 0
|
Garnacho bakal sarung jersi nombor 7 Man United
[Copy link]
|
|
Jersi nombor tujuh Manchester United yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo mungkin akan diberikan kepada Alejandro Garnacho. - Foto AGENSI
MANCHESTER: Manchester United sedang mempertimbangkan untuk memberikan jersi nombor tujuh kepada penyerang remaja berbakat, Alejandro Garnacho.
Pemain sayap berusia 18 tahun itu membuat penampilan pertamanya ketika menentang Chelsea pada April tahun lalu dan sejak itu mula membarisi skuad utama kendalian Erik ten Hag.
Garnacho yang ketika ini menyarung jersi bernombor 49, meledak tiga gol Liga Perdana Inggeris musim lalu dan sering dimasukkan sebagai pemain gantian dalam perlawanan penting.
Kini tempat dalam kesebelasan utama mungkin menjadi miliknya selepas kelab mempertimbangkan untuk memberikan jersi nombor tujuh yang pernah disarung legenda United, Cristiano Ronaldo.
Garnacho menandatangani kontrak lima tahun pada April dan bakal menjadi pemain remaja pertama menyarung jersi itu sejak Ronaldo pada tahun 2003.
Selepas Ronaldo berpindah ke Real Madrid pada tahun 2009, nombor berkenaan dipakai beberapa pemain tetapi gagal memberikan impak.
Michael Owen, Angel Di Maria, Memphis Depay dan Alexis Sanchez gagal menyerlah bersama United, manakala Edinson Cavani tampil cemerlang namun hanya berada di Old Trafford untuk tempoh yang singkat.
Antonio Valencia pula bergelut memenuhi jangkaan terhadap pemilik nombor berkenaan.
Ia kemudiannya kembali menjadi milik Ronaldo selepas pemain Portugal itu pulang ke Manchester, tetapi kepulangannya ke Old Trafford tidak berakhir dengan baik dan nombor tujuh sekali lagi tidak mempunyai pemilik.
Garnacho menjaringkan gol kemenangan ke atas Fulham dan West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Piala FA musim lalu, dan turut memikat hati Ten Hag dengan jaringannya dalam kemenangan ke atas Leeds serta Wolves.
Dia disenaraikan dalam kesebelasan pertama buat pertama kali ketika menentang FC Sheriff dalam saingan Liga Europa pada Oktober dan menjaringkan gol senior pertamanya ketika menentang Real Sociedad seminggu kemudian.
Garnacho menyertai United dari Atletico Madrid pada tahun 2020 ketika berusia 16 tahun, dan mula menyerlah dalam skuad remaja.
Ten Hag membawanya ke jelajah pra-musim di Thailand dan Australia tahun lalu, tetapi kerana sering lewat menghadiri mesyuarat pasukan, dia tidak diturunkan dalam perlawanan.
Dia bagaimanapun turun pada aksi terakhir persahabatan menentang Rayo Vallecano.
Argentina memberikan penampilan sulung buat Garnacho awal bulan ini, apabila dia dimasukkan pada 15 minit terakhir ketika kemenangan 2-0 ke atas Australia.
Dia beraksi dalam 30 minit terakhir ketika kemenangan ke atas Indonesia dengan jumlah jaringan yang sama. - AGENSI
https://www.bharian.com.my/sukan ... nombor-7-man-united |
|
|
|
|
|
|
| |
|