View: 197|Reply: 0
|
[Pulau Pinang]
Arwah Wafiq Zikry ringan tulang, suka membantu
[Copy link]
|
|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm255arwah_1686384557.jpg)
WAFIQ yang menunggang motosikal meninggal dunia berikutan cedera parah di kepala dalam kejadian pokok tumbang. FOTO ihsan Zolkifly Md Lazim
Georgetown: Remaja lelaki yang maut dihempap pokok tumbang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, baru saja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Khamis lalu.
Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi itu, Muhammad Wafiq Zikry Shah Mohd Farid Amirol Shah, 18, yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim berkata, mangsa adalah cucu saudaranya dan anak sulung daripada dua beradik.
Kata Zolkifly, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Genting, Balik Pulau selepas makan malam.
"Beberapa penunggang motosikal yang turut terbabit dalam kejadian itu adalah rakan kepada Muhammad Wafiq Zikry.
"Menurut ibu Muhammad Wafiq Zikry, mangsa memaklumkan mahu keluar makan malam bersama beberapa rakannya pada jam 8 malam sebelum mereka dikejutkan dengan panggilan berhubung kejadian yang menimpanya," katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Zolkifly berkata, Muhammad Wafiq Zikry tidak bekerja dan aktif dengan kegiatan sosial.
"Masyarakat di Balik Pulau mengenali Muhammad Wafiq Zikry sebagai seorang yang ringan tulang dalam membantu orang lain.
"Arwah juga adalah ahli silat Gendang Rebana yang aktif dalam pertunjukan di negeri ini," katanya.
Difahamkan, jenazah mangsa akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terang, Balik Pulau selepas solat Asar.
Kejadian yang berlaku dari arah Pusat Bandaraya ke Jambatan Pulau Pinang itu turut menyebabkan kesesakan melebihi lima kilometer berikutan pokok tumbang merentangi jalan.
Menurut saksi orang awam, pokok berkenaan dipercayai tumbang selepas dibadai belalai air dari kawasan pantai sebelum melalui lebuh raya berkenaan.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan kemalangan membabitkan dua kereta dan tiga motosikal.
Selain mangsa, kejadian membabitkan sembilan lagi pengguna jalan raya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ulang-suka-membantu |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|