|
Lionel Messi mengumumkan yang dia akan menyertai kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami di Amerika Syarikat selepas meninggalkan Paris Saint-Germain. - Foto AFP
BARCELONA: Lionel Messi mengumumkan yang dia akan menyertai kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami di Amerika Syarikat selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG).
Penyerang Argentina berusia 35 tahun itu meninggalkan Barcelona untuk bersama PSG sejak dua musim lalu, dan bermain buat kali terakhir di Paris pada Sabtu.
MLS dan Inter Miami mengesahkan berita berkenaan di media sosial, tetapi masih perlu menguruskan beberapa perkara untuk menyempurnakan perjanjian secara rasmi.
"Saya memutuskan untuk pergi ke Miami, perjanjian belum sempurna 100 peratus, tetapi kami memutuskan untuk meneruskan cabaran di sana.
"Saya pilih untuk meninggalkan Eropah. Selepas memenangi Piala Dunia dan tidak dapat ke Barca, masa untuk ke MLS bagi menikmati bola sepak dengan cara berbeza dan tenang," kata Messi.
Pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu menamatkan spekulasi perpindahannya yang sebelum ini mengaitkannya dengan kelab Arab Saudi, Barcelona dan Inter Miami.
"Jika berkenaan wang, saya pasti akan memilih Arab Saudi atau tempat lain. Keputusan saya bukan kerana wang," katanya.
Inter Miami, ditubuhkan pada tahun 2018 dan dimiliki bersama oleh bekas pemain England, David Beckham.
Minggu lalu, kelab itu memecat pengendali mereka, Phil Neville selepas Inter Miami menduduki tangga tercorot Konferens Timur.
"Kami mengalu-alukan kedatangan salah seorang pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman ke liga kami," kata MLS dalam satu kenyataan. - AFP
https://www.bharian.com.my/sukan ... i-pilih-inter-miami |
|
|
|
|
|
|
| |
|