|
Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku menjaringkan gol tunggal permainan ketika aksi pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah menentang FC Porto di San Siro, Milan. - Foto AGENSI
MILAN: Inter Milan kendalian Simone Inzaghi akan bertandang ke Porto untuk aksi timbal balik 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di Porto bagi memburu tempat ke suku akhir.
Kekalahan 2-1 di tangan kelab bergelut, Spezia dalam saingan Serie A meneruskan prestasi hambar Inter di tempat lawan, dengan anak buah Inzaghi kini ketinggalan 18 mata di belakang Napoli yang semakin hampir untuk mengesahkan kejuaraan.
Inter dicemuh penyokong sendiri sebaik tamat aksi di Stadio Picco, di mana anak kepada ikon bola sepak AC Milan, Paolo Maldini menjaringkan gol pembukaan.
Inter masih kekal di tangga kedua susulan kegagalan Lazio menewaskan Bologna pada Sabtu, tetapi misi untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan diancam oleh prestasi mereka di tempat lawan.
"Kami tidak berpuas hati dengan keputusan di luar San Siro. Tahun lalu ia cerita yang berbeza.
"Kami mencatat keputusan baik di tempat lawan, seperti di Barcelona (seri 3-3), dan kami sedar kami perlu menampilkan aksi cemerlang untuk mara ke suku akhir (Liga Juara-Juara)," kata Inzaghi.
Kelemahan benteng Inter turut kelihatan pada peringkat kumpulan kejohanan Eropah itu, dengan lima gol membolosi gawang mereka di Barcelona dan Bayern Munich.
Jika tewas esok (awal pagi Rabu), Inter bukan sahaja gagal ke suku akhir buat pertama kali sejak tahun 2011, tekanan ke atas Inzaghi juga semakin memuncak dengan Juventus akan bertandang ke San Siro pada Ahad.
Satu-satunya berita baik ialah Milan Skriniar dilaporkan kembali cergas untuk beraksi menentang Porto selepas mengalami kecederaan belakang.
Porto, yang memburu suku akhir ketiga dalam lima musim, menjadi badi buat kelab Itali sejak beberapa tahun lalu dan bakal menjadikan Inter mangsa terbaru dari Serie A selepas Juventus dan Roma.
Juara Portugal itu terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk menyingkirkan Roma empat musim lalu dan kelihatan berada pada prestasi terbaik berdasarkan persembahan di Milan bulan lalu.
Marko Grujic, Mehdi Taremi dan Zaidu Sanusi mempunyai peluang untuk menjaringkan gol sebelum Romelu Lukaku meledak gol tunggal perlawanan untuk Inter membawa bekalan tipis ke Porto.
Bagaimanapun Sergio Conceicao bakal kehilangan khidmat Gabriel Veron (kecederaan buku lali) dan Evanilson serta Galeno yang mempunyai masalah otot. Otavio tidak dapat diturunkan kerana penggantungan.
Barisan kemungkinan Porto:
Costa; Mario, Pepe, Cardoso, Sanusi; Grujic, Uribe; Franco, Pepe, Galeno; Taremi
Barisan kemungkinan Inter Milan:
Onana; De Vrij, Acerbi, Bastoni; Dumfries, Barella, Calhanoglu, Mkhitaryan, Dimarco; Martinez, Lukaku
https://www.bharian.com.my/sukan ... -lawan-hantui-inter |
|