|
JDT waspada ancaman KL City
Penyerang JDT, Bergson Da Silva (kiri) giat menjalani latihan bersama Shane Lowry (tengah) dan Corbin Ong (kanan) bagi persiapan menentang KL City FC pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok. Foto ihsan Johor Southern Tigers.
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) tetap berwaspada dengan taktik permainan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.
Pengendali JDT, Esteban Solari berkata, aksi berdepan skuad kendalian Bojan Hodak tampak sukar berdasarkan kelab dari Lembah Klang itu memiliki barisan pemain berkualiti selepas melihat rakaman video corak permainan pasukan itu.
"Seperti yang kita tahu aksi pertama mereka menentang Penang FC berkesudahan seri 2-2 dan mereka akan beraksi buat kali kedua di laman sendiri yang pasti akan memberi kelebihan.
"Namun, kami akan tampil dengan lebih mantap pada aksi itu nanti berbanding perlawanan pertama selepas mengenal pasti kelemahan ketika menentang Terengganu," katanya.
Ditanya sama ada akan berlaku penggiliran pemain yang bakal diturunkan menentang anak buah Bojan Hodak, pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan keputusan itu akan dibuat sehari sebelum perlawanan bagi menyenaraikan kesebelasan utama.
"Kami tidak memiliki kesebelasan pemain utama, tapi kesemua pemain yang berada di dalam skuad JDT adalah barisan pemain utama. Siapa sahaja layak untuk diturunkan dan seperti saya katakan ia persaingan yang sihat dan mereka harus beri yang terbaik ketika latihan untuk berada dalam skuad utama," kata Solari.
Sumber:https://www.bharian.com.my/sukan ... ada-ancaman-kl-city
|
|