|

Mohamed Bachik menunjukkan projek landasan kereta api terletak di kawasan tinggi berdekatan rumahnya yang dipercayai turut menyumbang kejadian banjir kilat di Kampung Kurnia. - NSTP/OMAR AHMAD
JOHOR BAHRU: Banjir kilat melanda Kampung Kurnia di sini semalam, adalah yang kedua hanya dalam tempoh tiga bulan selepas petempatan itu dibuka 64 tahun lalu.
Penduduk, Mohamed Bachik, 86, yang menetap di Kampung Kurnia sejak 1959, berkata sejak sehingga November tahun lalu, tidak pernah petempatan terbabit dilanda bencana berkenaan.
Justeru, beliau tidak menolak kemungkinan banjir kilat itu akibat projek landasan kereta api berhampiran kampung terbabit yang menyebabkan air tidak dapat mengalir lancar apabila hujan lebat berterusan.
"Sebelum projek pembinaan rel kereta api ini, tidak pula banjir kilat sepanjang ada landasan lama. bencana semalam menyebabkan beberapa rumah di Jalan Kurniawan di kampung dinaiki air, rumah saya pula hanya dimasuki air sedikit di halaman.
"Tahun lalu, sehari sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) adalah kali pertama banjir kilat melanda kampung ini, membawa bersama lumpur tanah merah. Banjir kilat semalam, air jernih yang saya percaya ia limpahan dari parit besar.
"Hujan hanya sejam, tetapi air di parit besar deras dan melimpah ke kawasan rumah penduduk berdekatan," katanya ketika ditemui, hari ini.
Suri rumah, Jariah Jais, 40, berkata ketika banjir kilat tahun lalu, air dari parit besar tidak penuh dan melimpah seperti semalam.
"Saya terkejut air dari parit besar boleh melimpah ke jalan raya dan masuk ke kawasan rumah. Hujan memang sangat lebat dalam masa sejam, air parit penuh, mengalir deras dan melimpah.
"Alhamdulillah banjir kilat kali ini tidak seteruk sebelum PRU lalu. November lalu, habis perabot saya rosak," katanya.
Ketua Kampung Kurnia, Mohd Adnan Salka, berkata sembilan rumah terjejas dengan banjir kilat semalam dengan empat daripadanya dimasuki air.
"Lima lagi rumah, air hanya masuk ke halaman. Bantuan awal telah diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Md Shah.
"Team Southern Volunteers (SV) Johor Bahru juga memberi bakul makanan dan membantu membersihkan kediaman yang terjejas selepas hujan mula reda dan paras air parit besar mulai surut," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... m-tempoh-tiga-bulan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|