|
PENYOKONG Ecuador memenuhi stadium untuk menyaksikan perlawanan pembukaan bertemu tuan rumah, Qatar. FOTO EPA
Doha: Hampir tiga juta tiket Piala Dunia sudah dijual, kata Fifa, ketika presiden badan induk itu mendedahkan kejohanan itu membantu melonjakkan pendapatan mereka sejak empat tahun lalu kepada AS$7.5 bilion (RM34.3 bilion).
Jurucakap Fifa memberitahu AFP bahawa 2.95 juta tiket sudah dijual sehingga hari perasmian, semalam.
Pembukaan Piala Dunia membawa kepada lonjakan minat untuk menyaksikan 64 perlawanan sepanjang 29 hari walaupun publisiti negatif terhadap Qatar selaku tuan rumah.
Peminat dilihat berbaris di luar pusat tiket Fifa di Doha dan ada yang merungut terpaksa menunggu lama untuk memasuki platform jualan tiket dalam talian.
Qatar sudah pun mengatasi Rusia 2018, apabila hanya lebih 2.4 juta tiket terjual.
Jurucakap itu berkata, Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, Mexico, Britain, Emiriah Arab Bersatu, Argentina, Perancis, India dan Brazil adalah antara negara tertinggi membeli tiket.
Presiden Fifa, Gianni Infantino memberitahu ketika persidangan sebelum ini bahawa pendapatan empat tahun badan dunia itu dianggarkan mencecah AS$7.5 bilion menjelang akhir tahun.
Pendapatan yang diraih adalah AS$1 bilion (RM4.5 bilion) lebih tinggi daripada yang diramalkan empat tahun lalu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... dunia-sudah-terjual |
|