View: 953|Reply: 0
|
Jangan biarkan saf kosong, ini sebab-sebabnya
[Copy link]
|
|
Jangan biarkan saf kosong, ini sebab-sebabnya
JIKA melihat saf kosong ketika sedang solat jemaah, penuhkanlah ruang tersebut dengan segera. -FOTO: 123RF
APABILA melihat saf kosong ketika menunaikan solat berjemaah, segeralah memenuhi ruangan tersebut. Bukan apa, dibimbangi para jemaah lain akan terputus saf.
Meskipun perkara tersebut tidaklah sampai membatalkan solat seseorang, tetapi sedikit ‘merencatkan’ kesempurnaan ibadah berkenaan.
Andai melihat saf yang sudah penuh tiba-tiba sahaja ada kekosongan kerana terdapat jemaah yang berpisah daripada solat disebabkan keuzuran tertentu, maka jangan biarkan ia begitu sahaja.
Memetik artikel Al-Kafi #912: Siapa yang Sepatutnya Mengisi Kekosongan Saf yang disiarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, kekosongan saf tersebut perlu segera diisi.
Ia sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis: “Dan tutuplah ruang-ruang kosong.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Begitu juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Janganlah kamu biarkan kekosongan (saf) itu untuk syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, ALLAH akan menyambungkannya. Sesiapa yang memutuskan saf, ALLAH akan memutuskan dirinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
ORANG yang menyambungkan saf dan memenuhkan ruang kosong tersebut adalah mereka akan disambungkan dengan rahmat ALLAH SWT. -FOTO: 123RF
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, antara kelebihan menyambungkan saf dan memenuhkan ruang kosong tersebut adalah mereka akan disambungkan dengan rahmat ALLAH SWT.
“Sementelah, keburukan bagi mereka yang tidak merapatkan saf pula adalah terputusnya daripada rahmat dan ‘inayah ALLAH SWT,” katanya dipetik daripada artikel tersebut.
Sebenarnya, perihal tentang meluruskan saf ada disebut dengan jelas dalam hadis riwayat Imam al-Bukhari yang menjadi antara tanda kesempurnaan solat.
“Bahkan, ia juga merupakan antara tanda lengkap dan tepatnya solat yang sedang didirikan.
“Dalam satu riwayat lain, ada dinyatakan perumpamaan bahawa Rasulullah SAW meluruskan saf para sahabat seperti diluruskan anak-anak panah,” jelas artikel berkenaan.
Cara isi kekosongan saf
Siapakah yang perlu mengisi kekosongan saf tersebut?
Dalam hal itu, jika makmum yang berada dalam saf yang sama melihat tiada orang dari belakang mengisi kelompongan tersebut, dia hendaklah memenuhkannya sama ada bergerak dari arah kiri ke kanan atau sebaliknya.
Ini kerana dalam keadaan tersebut, mengisi kekosongan tersebut adalah lebih utama.
MEREKA yang selalu menyambung saf dan tidak membiarkannya kosong merupakan antara kelompok yang mendapat selawat ALLAH SWT dan para malaikat.
“Bagaimanapun, sekiranya makmum yang berada di belakang melihat kekosongan saf di hadapannya, maka hendaklah dia segera memenuhkannya bagi mendapatkan fadilat bersegera ke arah kebaikan dan menyambungkan saf,” kata pejabat mufti berkenaan.
Ketahuilah bahawa antara kelompok yang mendapat selawat ALLAH SWT dan para malaikat ialah mereka yang selalu menyambung saf dan tidak membiarkannya tempat itu kosong.
Demikian fakta yang diambil daripada portal kalam.sindonews.com. Laman web itu memetik tulisan Dr Fadhl Ilahi Syaikh Zhuhur Ilahi dalam bukunya bertajuk Man Tushalli ‘alaihimul Malaa-ikah wa Man Tal’anu-hum (Pustaka Ibn Katsir).
Imam Ahmad, Ibn Majah, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan al-Hakim meriwayatkan daripada Aisyah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ALLAH dan para malaikat selalu berselawat kepada orang-orang yang menyambung saf-saf.” (Hadis ini disahihkan oleh Syaikh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib wat Tarhib I/272))
Sejak negara dalam fasa peralihan ke endemik 1 April lalu, aktiviti solat berjemaah kembali kepada asal iaitu tiada penjarakan fizikal.
Justeru, rapatkanlah saf kita dan jangan biarkan ada kelompongan di situ. Ingatlah, jangan terlalu menurutkan keselesaan sendiri berbanding suruhan Rasulullah SAW.
Sumber:https://sinarislamplus.sinarhari ... ini-sebab-sebabnya/
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|