|
BARISAN pemain KL City (jersi merah) meraikan kejayaan mara ke peringkat suku akhir menerusi kemenangan agregat 4-0 ke atas PDRM di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebentar tadi. - MFL
KL City benam PDRM untuk ke suku akhir
KUALA LUMPUR – Juara bertahan Piala Malaysia, Kuala Lumpur City mengesahkan slot suku akhir selepas mengetepikan cabaran wakil Liga Premier, PDRM FC 4-0 secara agregat.
Cemerlang dengan kemenangan 3-0 pada aksi pertama, Khamis lalu, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sekali lagi menjadi bukti kemenangan 1-0 The City Boys pada aksi timbal balik, sebentar tadi.
Bagaimanapun, tugas berat menanti pengendalinya, Bojan Hodak untuk menambah bisa ke dalam pasukan memandangkan KL City mempersiakan banyak peluang terbaik.
Terdahulu, walaupun Hodak kembali menyenaraikan Paulo Josue dan Akram Mahinan di jentera tengah, PDRM FC yang memerlukan empat gol untuk layak tampil berani melakukan serangan ke kubu tuan rumah.
Sebaik memasuki minit ke-27, pengadil bertugas, S. Logeswaran terpaksa menghentikan perlawanan selama kira-kira enam minit selepas salah satu lampu limpah stadium padam.
Jordan Mintah yang jadi taruhan KL City seakan belum lagi menemui keyakinan apabila gerakan diaturnya terlalu mudah dipatahkan pertahanan PDRM FC sekaligus tiada sebarang gol mampu dihasilkan sepanjang babak pertama.
Kemasukkan penjaring terbanyak Piala Malaysia musim lalu, Romel Morales dan Zhafri Yahya jelas menambah kualiti serangan KL City namun beberapa peluang terbaik sepanjang 10 minit awal babak kedua terus menemui jalan buntu.
Seterusnya, PDRM FC menggandakan serangan sebaliknya jurang pengalaman menjadi pemisah, menyaksikan pertahanan KL City berjaya membaca gerakan dengan baik.
Minit ke-89, gol yang dicari-cari KL City akhirnya hadir menerusi Zhafri yang melakukan rembatan rendah untuk menewaskan penjaga gol lawan, Firdaus Irman Mohd. Fadhil.
Di suku akhir, misi KL City untuk mempertahankan kejuaraan berdepan tugas cukup mencabar apabila dijadualkan menentang Terengganu yang menyingkirkan Sri Pahang 9-3 secara agregat. – KOSMO! ONLINE
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/11 ... ntuk-ke-suku-akhir/
|
|