GEORGETOWN - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Chew bakal bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bendera di bawah Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Selain bekas ADUN DAP itu, PRM juga mengumumkan empat calon lain yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi zon utara.
Tiga daripada mereka merupakan calon Parlimen di Pulau Pinang iaitu Ravinder Singh di kerusi Bayan Baru, Lee Ah Leong (Batu Kawan) dan Koh Swe Yong (Jelutong).
Sementara itu, Tan Chow Kang yang merupakan wakil tunggal parti itu di Kedah akan bertanding di kerusi Sungai Petani.
Setiausaha Agung PRM, Swe Yong berkata, secara keseluruhannya parti itu meletakkan 25 calon untuk bertanding dalam PRU15.
Menurutnya, parti itu akan mengumumkan 18 calon lagi yang akan bertanding di Kelantan dan Selangor.
"Hari ini (Ahad) kita umum lima calon di zon utara iaitu empat di Pulau Pinang dan satu di Kedah. Selepas ini, kita akan umumkan 14 calon yang akan bertanding di Kelantan dan empat di Selangor.
"Ada beberapa kerusi lagi di negeri lain seperti Pahang yang mana, kami sedang berbincang untuk meletakkan calon di sana," katanya ketika sidang akhbar Majlis Pengumuman Calon PRM di Ibu Pejabat PRM Pulau Pinang di sini pada Ahad.
Swe Yong berkata, PRM yakin akan memberi tentangan hebat kerana parti itu pernah mempunyai pengaruh kuat di Pulau Pinang dan negara pada satu ketika dahulu.
"Perjuangan PRM untuk membela nasib rakyat tidak pernah berhenti walaupun kami tidak mempunyai ahli dan pemimpin yang ramai. Bagaimanapun, perjuangan kami terhadap rakyat tidak pernah lenyap.
"Oleh itu, dengan slogan 'Kami Kembali', PRM mahu menawarkan satu pilihan baharu kepada pengundi dalam pilihan raya kali ini," katanya.
Tambah beliau, PRM bersedia untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti dengan syarat kebajikan rakyat menjadi keutamaan parti tersebut.
"PRM meletakkan kebajikan rakyat sebagai teras utama perjuangan parti, oleh itu mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan kami perlu mempunyai perjuangan yang sama dengan PRM," katanya.
Dalam pada itu, PRM turut mengumumkan manifesto yang mana antara kandungannya adalah memastikan pendidikan yang efektif, mampu, relevan dan berkualiti kepada generasi muda.
Selain itu, parti itu juga berjanji untuk mengimbangi pembangunan ekonomi, pembangunan ekologi serta mengaudit semua pihak yang berkuasa untuk memastikan akauntabiliti dan tanggungjawab.