|
Dua penuntut OKU Norfatihah (kiri) dan G Ryenaath bersemangat ketika ditemui di USM. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Georgetown: "Kurang seminggu saya di sini, ibu telefon 'tak henti-henti' kerana bimbang tidak dapat sesuaikan diri dan sering berpesan supaya cari kawan baru.
"Namun saya baik-baik sahaja malah bersemangat serta tidak sabar hendak mengikuti kuliah," demikian antara pengalaman lucu penuntut baharu Universiti Sains Malaysia (USM) yang berstatus orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, G Ryenaath, 21.
Penuntut jurusan Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan itu berkata, dia juga sudah biasa mengurus diri tambahan pula pernah tinggal di asrama ketika belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur.
Katanya, sebelum membuat permohonan kemasukan ke universiti, dia mendapatkan pelbagai cadangan daripada rakan mengenai universiti mesra OKU dan USM adalah satu daripadanya.
"Penglihatan saya mulai kabur akibat glaukoma sejak berusia 15 tahun sebelum disahkan buta.
"Sayangnya saya tidak dapat lihat suasana baharu di universiti ini, namun itu tidak menjadi penghalang dan yang penting ialah mahu fokus kepada tujuan utama saya ke sini," kata anak kelahiran Ipoh, Perak itu ketika ditemui di USM, hari ini.
Sementara itu, penuntut Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Norfatihah Abdul Rahim, 20, yang dilahirkan tanpa tangan kanan serta cacat tangan kiri sejak lahir berkata, hasrat bagi menyambung pengajian ke menara gading membara sejak di bangku sekolah selepas menghantar kakak sulungnya mendaftar masuk ke sebuah universiti.
Anak kelahiran Kulim, Kedah itu juga mengakui agak sukar bagi menguruskan diri pada minggu pertama di kampus.
"Sebelum ini, pernah juga saya terfikir mengenai kehidupan di kampus dan hendak menguruskan diri sendiri di asrama kerana tidak pernah berenggang dengan keluarga.
"Bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, memang akan mengambil masa dan ibu juga kerap menghubungi saya bagi bertanya jika saya ada keperluan lain.
"Impian saya hanya satu iaitu mahu bergelar pendidik. Buat rakan senasib yang ingin menyambung pengajian ke universiti, tidak perlu ragu dengan keupayaan diri serta sentiasa positif," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu ketika ditemui.
Bagi kemasukan sidang akademik 2022/2023, 4,283 calon lepasan matrikulasi, asasi, diploma dan setaraf menerima tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda dan Diploma di USM.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ng-pengajian-di-usm |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|