Alor Setar: Trak makanan Fire Kitchen Abang Bomba menjadi tumpuan pengunjung hadir sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah yang berlangsung di Stadium Darul Aman di sini, selama tiga hari bermula semalam, kerana jualan mi semurah 50 sen.
Lebih menarik perhatian, abang bomba 'sado' turut membantu melayani orang ramai yang hadir sehingga ada pengunjung yang sanggup berbaris panjang dalam keadaan hujan renyai sebelum bergambar dengan mereka.
Juadah mi itu disediakan oleh pegawai dan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
Ketua Penyelaras Fire Kitchen Abang Bomba, Penolong Kanan Penguasa JBPM Selangor, Shaharil Mohammad Hassan berkata, Fire Kitchen Abang Bomba adalah sebahagian daripada usaha kerja amal kepada orang ramai dengan menjual makanan pada harga murah.
Beliau berkata, semalam, sebanyak 40 kilogram mi termasuk kuetiau dan mihun habis dijual dalam anggaran 500 pinggan dalam dua sesi iaitu pagi dan petang.
PENGUNJUNG membeli pelbagai jenis mi yang dijual 50 sen sepinggan di trak makanan ‘Fire Kitchen Abang Bomba’ sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Stadium Darul Aman. FOTO Zuliaty Zulkiffli
"Trak kami dibuka pada 10 pagi semalam tetapi ditutup pada tengah hari untuk solat Jumaat tetapi sebaik dibuka semula 4 petang, orang ramai sudah serbu (untuk) beli dan habis kira-kira sejam lebih.
"Hari ini kami akan menambah lagi sekitar 60 atau 70 kilogram untuk 700 pinggan," katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Shaharil, seramai lapan kru dari sekitar Selangor bertugas di Fire Kitchen Abang Bomba ini dan
simboliknya kesemua makanan ini dijual dengan harga 50 sen.
Sementara itu, pengunjung, Aliah Ahmad, 34, dari Yan, berkata, dia tertarik melihat ramai orang berbaris di trak makanan itu sebelum dimaklumkan harga makanan di situ seperti mi, kuetiau dan mihun yang dijual anggota bomba hanyalah 50 sen.
Katanya, teruja dengan harga yang sangat murah, dia bersama beberapa rakan sanggup beratur untuk membeli sambil menyifatkan harga itu sangat murah dan mampu dibeli sesiapa saja.
"Rasanya pun sangat sedap dan ditambah pula dengan layanan abang bomba yang sangat baik dan kami turut berpeluang mengambil gambar bersama mereka," katanya.