Georgetown: "Hanya fikir hendak selamatkan isteri cacat penglihatan," kata Roslan Abdullah, 57, selepas rumahnya di Jalan Gemas di sini, terbakar jam 11.20 malam tadi.
Roslan berkata, dia juga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting atau barangan berharga pada kejadian itu.
, ketika kejadian, dia hanya tinggal berdua bersama isteri, Sakinah Bee Syed Mansor, 51, manakala anak tunggal mereka, Nur Syafiqah, 25, tinggal berasingan di Georgetown.
"Sebelum itu, Sakinah beritahu ada 'tikus buat bunyi bising' di bumbung sebelum mengadu terasa bahang. Apabila buka pintu bilik, saya lihat api sudah menjulang.
"Saya terus membawa isteri keluar dari rumah," katanya.
Selain rumah pusaka berusia hampir 150 tahun itu, tiga motosikal milik mangsa dan jiran turut musnah.
Sementara itu, Sakinah berkata, dia kehilangan penglihatan sejak 10 tahun lalu akibat masalah saraf.
Katanya, dia reda dengan kejadian dan menganggap ia sebagai ujian buat mereka sekeluarga.
Buat sementara, katanya, mereka menumpang di rumah jiran.
"Semalam, kami berdua berasa tidak sihat. Syukur kebakaran tidak merebak ke rumah berhampiran kerana ada jiran yang baru sahaja melahirkan anak dan masih lemah," katanya.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 11.28 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dibantu BBP Lebuh Pantai dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bergegas ke lokasi sejurus kemudian.
"Kami berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran," katanya.