|
Alor Setar: Tempahan roti jala Jalur Gemilang mendapat sambutan di luar dugaan buat suri rumah, Yusnita Wan Chik, 42, malah memberi pulangan lumayan buatnya sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-65 tahun ini.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya menjual roti jala biasa namun sejak awal bulan ini, dia menerima banyak tempahan daripada pelanggan yang mahukan roti jala Jalur Gemilang pelbagai saiz.
Katanya, bagaimanapun dia hanya menerima tiga atau empat tempahan sehari disebabkan kekangan masa dan tenaga kerana setiap roti jala Jalur Gemilang yang dihasilkan mengambil masa kira-kira tiga atau empat jam.
"Saya hanya belajar buat dekorasi roti jala Jalur Gemilang melalui Internet tapi mula-mula takut juga nak cuba, tapi akhirnya berjaya hasilkan mengikut citarasa pelanggan.
"Saya hanya buat jika ada yang menempah dan biasanya kakitangan pejabat kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu dengan harga antara RM50 hingga RM100 bergantung pada saiz dan dekorasi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Alor Malai, Jalan Langgar, di sini, hari ini.
Menurutnya, sejak 2 Ogos lalu, dia tidak pernah putus menerima tempahan roti jala Jalur Gemilang malah ada yang menempah saiz jumbo yang bernilai lebih RM100 untuk majlis rasmi pejabat.
Katanya, selain roti jala, dia turut menghasilkan agar-agar Jalur Gemilang bergantung pada tempahan pelanggan.
"Alhamdulillah, roti jala Jalur Gemilang ini dapat menjana pendapatan saya.
"Saya akan buka tempahan sehingga Hari Malaysia kerana bagi saya, menghasilkan roti jala Jalur Gemilang adalah satu kepuasan kerana selain warnanya yang cantik, ia sedikit sebanyak menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan kali ini," katanya.
Yusnita berkata, paling sukar untuk dia hasilkan ialah tulisan serta logo bulan dan bintang bagi menjadikan Jalur Gemilang itu sama seperti bendera asal.
Katanya, pelanggan juga boleh memilih sama ada kuah kari daging, ayam atau durian untuk dicicah bersama roti jala.
"Untuk Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini pun saya sudah dapat banyak tempahan dan saya perlu habiskan masa pada malam esok untuk melakukan persiapan menyiapkannya," katanya.
YUSNITA menunjukkan roti jala Jalur Gemilang yang ditempah pelanggan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ur-gemilang-metrotv |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|