|
TANGKAP layar video yang tular dalam dalam media sosial mendakwa berlakunya kegiatan lumba haram di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, George Town, Pulau Pinang, malam tadi.
Oleh SAFINA RAMLI
28 Ogos 2022, 4:11 pm
GEORGE TOWN: Polis menafikan berlakunya aktiviti lumba haram membabitkan beberapa kumpulan motosikal di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Padang Kota Lama di sini, seperti yang tular dalam media sosial hari ini.
Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ia hanya melibatkan pergerakan kumpulan motosikal membabitkan lebih 200 buah motosikal dari Johor, Kedah dan Seberang Perai dekat sini.
“Sepasukan polis daerah Timur Laut membuat pemantauan terhadap pergerakan kumpulan-kumpulan bermotosikal ini dan kita dapati terdapat lebih 200 buah motosikal memasuki kawasan Timur Laut bermula pukul 12 tengah malam.
“Menerusi hasil risikan polis, kumpulan bermotosikal ini bukan datang untuk berlumba sebaliknya mahu bersantai serta bersiar-siar. Namun mereka masuk ke daerah ini dalam kumpulan yang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Hari ini tular dalam media sosial mengenai beberapa kumpulan motosikal yang memasuki Pulau Pinang yang dikatakan mahu berlumba haram.
Pada 17 Julai lalu, lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini, yang mana polis percaya kejadian itu akibat kegiatan lumba haram.
Menurut Soffian, polis mengekori pergerakan kumpulan motosikal itu dan mendapati mereka bergerak ke arah Padang Kota Lama dan kemudian memasuki sebuah stesen minyak di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, kira-kira pukul 1.30 pagi.
”Kumpulan ini kemudian ada yang bersurai, namun polis menahan 23 penunggang motosikal berusia 16 tahun hingga 25 tahun berasal dari Kedah, Johor dan Seberang Perai kerana melakukan pelbagai kesalahan.
“Polis juga mengeluarkan 48 saman termasuk menyita sembilan buah motosikal atas pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai eksos, tidak mempunyai lesen, tidak mempamerkan plat motosikal, tidak mempunyai cermin sisi dan lain-lain,” katanya.
Tambah beliau, kumpulan motosikal itu juga didapati mengganggu pengguna jalan raya lain kerana menunggang dalam satu kumpulan yang ramai di semua lorong. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... am-di-pulau-pinang/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|