BUTTERWORTH: Usia Nur Qistina Batrisyia Zamri baru tujuh tahun, namun kanak-kanak ini sudah merasai keperitan dalam hidup akibat serangan leukimia sejak tiga tahun lalu.
Dari sehari ke sehari, sel-sel kanser makin merebak dan kini dia tidak lagi meneruskan rawatan, hanya berserah kepada keajaiban dan kuasa tuhan.
Menurut ibunya, Juriah Saad, 41, anaknya tidak lagi menyambung rawatan berikutan sel kanser sudah merebak.
"Dia pada mulanya sudah bebas daripada penyakit itu awal tahun ini, namun secara tiba-tiba, ia menyerang kembali hingga tiada lagi rawatan yang boleh diambil. Sebagai ibu, saya reda dan sekarang hanya menggembirakan hari-hari akhir anak saya dengan perkara yang manis.
"Terima kasih kepada semua pihak yang selalu mendokong saya dan turut sama memberikan kegembiraan kepada anak saya, selain kata-kata semangat bagi melawan penyakit dihadapinya," katanya.
Juriah dan Nur Qistina Batrisya ditemui pada program tayangan amal filem ketenteraan 'Air Force The Movie: Selagi Bernyawa' anjuran Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) di Seberang Jaya, di sini, semalam.
Seorang lagi pesakit kanser, remaja berusia 17 tahun, Natasha Mohd Hasjemi pula tidak sanggup lagi meneruskan rawatan penyakitnya kerana sudah tidak tahan menanggung kesakitan.
Ibunya, Zaiton Awang, 46, berkata dia terpaksa akur dengan kehendak anak perempuannya itu yang memaklumkan rawatan kemoterapi amat menyakitkan.
Natasha Mohd Hasjemi bersama ibu, Zaiton Awang. - NSTP/DANIAL SAAD
"Dia sudah besar dan tahu status kesihatannya, malah agak beremosi. Namun saya lihat dia gembira dibawa menonton filem ini yang diharap dapat menyuntik semangatnya supaya lebih kuat bagi menghadapi ujian sukar ini," katanya.
Pengerusi FOCCAN, Maznah Tayib, berkata pihaknya membawa pesakit kanser menonton filem berunsurkan ketenteraan itu bagi menerapkan semangat juang dalam diri mereka.
"Kita tahu, pesakit kanser perlu berjuang dan semangat yang ada dalam pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia ini perlu ditunjukkan kepada mereka untuk terus kuat melawan kesakitan," katanya.