CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2020|Reply: 0

Apa ada dengan ronggeng Melayu ?

[Copy link]
Post time 16-8-2022 01:36 PM | Show all posts |Read mode
Apa ada dengan ronggeng Melayu ?


Stigma negatif terhadap tarian rongeng mengehadkan keupayaan masyarakat untuk memahami apakah ia sebenarnya. Gambar NSTP/ Hafzan Zannie Hamza


"Ha, nak pergi mana tu? Meronggenglah tu...," umumnya istilah ronggeng selalu dilihat sebagai 'tarian kotor' yang dikaitkan dengan keruntuhan moral masyarakat Melayu.

Stigma sebegini sebenarnya mengehadkan keupayaan masyarakat untuk memahami apakah itu ronggeng Melayu. Prasangka buruk terhadap ronggeng mungkin disebabkan perkataan itu berasal daripada gabungan kata bahasa Inggeris 'wrong' dan 'gang'.

'Wrong-gang' membawa maksud perkumpulan orang yang membuat sesuatu perkara yang salah di sisi adat dan budaya setempat. Takrifan mentah secara literal ini adalah konstruksi sosial yang membawa kepada interpretasi negatif secara menyeluruh terhadap ronggeng.

Justeru, kita melihat suatu ketika dahulu, ronggeng pernah dianggap merosak budaya orang Melayu kerana bukan sahaja golongan muda, malahan mereka yang berumur turut melampiaskan 'angin' bersosial dengan beronggeng di pusat-pusat hiburan urban seperti di Great Eastern Limited, Hollywood Park, Fairyland, Bukit Bintang Park yang masyhur di Kuala Lumpur sekitar 1950-an.

Pada waktu itu, pusat-pusat hiburan sebegini bukan sahaja wujud di Kuala Lumpur, malah juga terdapat di bandar besar lain seperti di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Wanita yang menari didalamnya digelar 'perempuan joget' atau 'perempuan kabaret' dan patron yang berhajat menari bersama mereka dikenakan caj tertentu dalam bentuk tiket.

Aktiviti meronggeng pernah dikecam oleh pelbagai pihak di dada akhbar tempatan sehinggakan alim ulama turut bersuara melarang agenda ronggeng dalam mana-mana majlis perkahwinan atau keramaian. Larangan meronggeng turut diarahkan ke atas kanak-kanak lantaran kebimbangan masyarakat yang semakin memuncak.

Pergaulan tidak berbatas, pencabulan ke atas penari ronggeng, kanak-kanak bawah umur meronggeng, serta belia meronggeng di acara mandi safar adalah antara sejarah hitam yang menjadi sebab orang Melayu merasa jelek mendengar perkataan ronggeng.

Sebenarnya, yang dianggap negatif dan kotor itu adalah ronggeng moden yang menjadi alat warga kota bersosial di pusat hiburan.

Ronggeng Melayu pula sebaliknya, ia adalah wadah budaya orang Melayu dan membawa erti yang lebih besar daripada sekadar menari atau berkesenian. Fungsinya terhadap masyarakat malah lebih dalam daripada sekadar memenuhi kehendak manusia untuk bersosial.

Ronggeng adalah budaya muzik dan tari orang Melayu yang tersurat didalamnya seni lagu, seni tari dan seni berbahasa yang tinggi nilainya. Garapan muziknya menunjukkan kearifan tempatan dengan gabungan pelbagai elemen sehingga gubahan, melodi, rentak, tekstur dan penyampaiannya menjadi lambang kesenian orang Melayu serumpun.

Gerak tarinya pula bukanlah basa-basi. Ia sarat dengan makna simbolik yang menunjukkan falsafah pemikiran, kesantunan, pekerti dan jati diri orang Melayu. Bait-bait pantun di dalam lagunya pula tersirat unsur kasih sayang, jenaka, nasihat, adat, kritikan sosial, dan macam-macam lagi.

Biarpun ronggeng dikenal pasti dengan kepelbagaian struktur dan gaya yang berbeza permainannya di sepanjang perairan di Selat Melaka hingga ke Selat Andaman, bentuk zahir Ronggeng Melayu ini mudah dan ringkas.

Umumnya ronggeng ditarikan berdasarkan satu kitaran lengkap yang menggabungkan tiga buah lagu berentak asli (senandung), inang (mak inang) dan joget (lagu dua). Penari, pemuzik dan penyanyi 'bermain' bersahaja dan santai namun perilaku dan adab senantiasa dijaga.

Penari melenggang dan melangkah bersahaja sesama pasangan di sepanjang kitaran lagu, penyanyi pula berpantun mengusik pemain dan penonton.

Justeru itu ia digelar 'permainan ronggeng' yang sangat dekat di hati orang Melayu sehingga ronggeng mampu merentasi bangsa dan diminati penggemar seni bukan Melayu.

Uniknya di negara jiran, mereka ada rentak 'patam-patam' dan kitaran lagunya seiras kita di Tanah Melayu. Di barat daya Thailand pula rongngeng bermula dengan Wai Khru dengan kitaran lagu 'Burung Putih Mak Inang' dan 'Dua'.

Pada milenium kini, bentuk permainan ronggeng hadir dalam persembahan pentas yang digelar tarian tradisional merangkumi tarian seperti asli, inang, joget juga zapin.

Tarian begini selalu dirujuk sebagai 'tari seni', repertoir tunggal atau gabungan dipanggil 'tarian rampaian' yang sangat popular dalam kalangan aktivis tari.

Baru-baru ini terdapat usaha untuk menghidupkan semula ronggeng Melayu yang asli giat dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Seni Persembahan Nusantara (NusPARC) antaranya melalui acara Panggung Rakyat (2019) dan Pentas Seni Merdeka (2022). Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama banyak pihak seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Yayasan Hasanah, Cultural Economy Development Agency (CENDANA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Peranakan Penang, sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur, Sekolah Seni Malaysia dan lain-lain.

Ronggeng Melayu, tidak kira dalam bentuk permainan bersahaja mahupun persembahan pentas, adalah lambang budi pekerti orang Melayu yang tinggi nilai peradabannya. Seni lagu, tari dan bahasa yang tersurat dan tersirat didalamnya haruslah difahami secara intelektual, bukan ditakrifkan dengan emosional berdasarkan sejarah silamnya.

Justeru ia perlu difahami dengan bijak melangkaui kesenian murni semata, tetapi mestilah merangkumi nilai keilmuan, falsafah dan kearifan pemikiran tempatan yang terkandung didalamnya. Wadah budaya seperti ini mesti dilestarikan supaya tidak pudar ditenggelami hiburan semasa yang tidak membantu membangun minda generasi kita.

- Penulis ialah pensyarah Tari, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak.

Sumber:https://www.bharian.com.my/renca ... gan-ronggeng-melayu

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-11-2024 10:15 AM GMT+8 , Processed in 0.572302 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list