BUKIT MERTAJAM: Seramai 1,662 penduduk sekitar Bertam di Kepala Batas, dekat sini menandatangani petisyen dan menyerahkannya kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi membantah cadangan projek Taman Teknologi Pulau Pinang termasuk pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (
CLQ).
Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam (LEKAS), Zikrullah Ismail, berkata petisyen itu dilancarkan selama lima hari bermula 20 Julai lalu selepas mendapati projek berkenaan didakwa mendapat sokongan dan kelulusan penduduk dalam kajian Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA).
"Persoalannya kenapa tiba-tiba SIA boleh lulus sedangkan penduduk tidak bersetuju dengan projek berkenaan.
"Kita gesa pihak berkaitan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneliti perkara berkaitan SIA kerana jika tidak, lebih banyak projek yang sebenarnya ditentang secara tiba-tiba boleh lulus," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan petisyen bersama Jawatankuasa Bertindak Membantah Cadangan Pembangunan Taman Perindustrian di Bertam dan Gabungan Komuniti Bertam Putra di Menara MBSP, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Zikrullah turut menggesa pihak berwajib khususnya MBSP melalui Jabatan Perancang Bandar untuk melihat semula kewajaran projek itu dibangunkan kerana ia masih lagi belum mendapat kelulusan merancang.
"Dalam hal ini, masih ada ruang untuk menilai semula kerana saya dimaklumkan draf perancangan tempatan pun masih di peringkat awal," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Badan Bertindak Bantahan projek terbabit, Dr Muhammad Azrul Zabidi, berkata beliau sebelum ini melancarkan satu petisyen dalam talian bermula 19 Mei lalu dan berjaya mengumpul sehingga 6,533 sokongan.
"Bagaimanapun, petisyen secara bertulis dilancarkan selepas mendapati dapatan kajian Laporan SIA oleh penggerak projek (Lestari Duta) mendakwa 68.9 peratus atau 106 penduduk zon teras dan 72.7 peratus (188 orang penduduk zon penampan) menyokong projek ini.
"Hasil dapatan ini dipertikaikan kerana ia tidak mewakili suara sebenar komuniti yang terbabit dan jumlah 411 responden dalam kajian SIA itu terlalu kecil," katanya
Difahamkan, selain MBSP, petisyen sama turut dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang serta agensi berkaitan untuk diteliti.
Sebelum ini, penduduk dari 11 taman perumahan sekitar Bertam, membantah cadangan pembinaan CLQ berhampiran Taman Mekar Sari, di Bertam berikutan bimbang wujud pelbagai masalah sosial dan kesihatan di kawasan itu kelak.
Projek pembangunan itu didakwa dalam kelulusan mendapatkan kebenaran merancang dan mempunyai dua pakej.
Pakej pertama membabitkan cadangan membina 45 unit plot industri dan tiga blok asrama pekerja 10 tingkat, manakala pakej kedua membabitkan cadangan membina 99 unit plot industri dan empat blok asrama pekerja 10 tingkat yang keseluruhannya berjumlah 977 unit.