|
Johor Bahru: Dua bot Scavenger perangkap sampah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan digunakan di semua sungai seluruh Johor bagi membersihkan sampah sarap.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bot yang boleh memerangkap tiga tan sampah sarap di sungai untuk sekali perjalanan itu, akan dimulakan di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai antara sungai tercemar di negeri ini.
Menurutnya, banyak sampah sarap domestik yang dibuang ke dalam sungai khususnya di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai.
"Sebanyak 85 tan sampah sarap di Sungai Tebrau dikutip dalam tempoh sebulan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Manakala di Sungai Skudai terdapat 70 tan sampah sarap dikutip dalam tempoh sama.
"Bot ini akan beroperasi setiap hari, kita akan lihat tahap efektif bot ini, jika ia membuahkan hasil kita akan tambah lebih banyak bot untuk membuat kerja pembersihan. Setakat ini yang buat kerja pembersihan sungai, selain JPS ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membelanjakan puluhan ribu ringgit sebulan.
BOT Scavenger Perangkap Sampah mampu memerangkap tiga tan sampah sarap di sungai untuk sekali perjalanan. FOTO OMAR AHMAD
"Bot ini hanya membantu membersihkan sungai, tetapi yang penting ialah peranan semua pihak termasuk masyarakat sendiri yang perlu menanamkan rasa sayangi sungai dan menjaga kebersihan sungai kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran Kempen Johor Bersih dan Bot Scavenger pengutip sampah di Sungai Tebrau, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, Taskforce Penguatkuasaan dan Pemantauan Pencemaran Sungai-Sungai di Johor akan diwujudkan dalam usaha memulihkan semua sungai yang tercemar di negeri ini.
Menurutnya, ia akan dilaksana secara berperingkat dengan fasa pertama difokuskan bagi daerah Johor Bahru dan Kulai yang kerap berdepan isu pencemaran sungai.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... luruh-johor-metrotv |
|