|
HAIKAL (kiri) dan Wan Arif tidak mahu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi di Terbuka Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
Kuala Lumpur: Beregu muda negara, Wan Arif Wan Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri mahu memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di Terbuka Malaysia bermula di pusingan pertama.
Gandingan yang mendapat gelaran 'Patatimo Boys' itu pada mulanya diletakkan dalam senarai menunggu namun mereka memperoleh peluang keemasan untuk beraksi pada kejohanan bertaraf Super 750 itu selepas beberapa gandingan ternama menarik diri.
"Saya memang tak pernah menjangkakan kami dapat beraksi sebab kami berada dalam senarai menunggu ketiga. Ini adalah salah satu peluang terbaik untuk saya dan Arif.
"Peluang seperti ini tidak selalu kami dapat, jadi kami mahu berikan prestasi paling terbaik.
"Mengenai sasaran, kami tidak mahu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi. Kami akan fokus pada setiap perlawanan terlebih dahulu," kata Haikal menjelang Terbuka Malaysia yang akan bermula esok sehingga Ahad ini.
Arif pula berkata, mereka sememangnya cukup teruja untuk beraksi di kejohanan bertaraf tinggi itu dan menggesa penyokong untuk memberikan sokongan padu.
"Saya harap suasananya seperti di Indonesia (Istora Senayan) apabila ramai penyokong penuhkan stadium dan ia cukup meriah," katanya yang menduduki ranking ke-85 dunia bersama Haikal.
Terdahulu, beregu nombor satu dunia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon serta satu lagi gandingan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Malaysia kerana faktor kecederaan.
Sejak Goh V Shem-Lim Khim Wah memenangi acara beregu lelaki pada 2014, tiada mana-mana beregu negara berjaya muncul juara.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -manfaatkan-peluang |
|