View: 416|Reply: 0
|
[Kedah]
Kawasan berisiko tinggi seluruh negara akan dilengkapi EWS
[Copy link]
|
|
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/DATUK_SERI_TAKIYUDDIN_HASSAN_takik_1656229607.jpg)
Takiyuddin (tengah) melihat penderia getaran ketika mengadakan lawatan di Tapak Perintis Pembangunan Sistem Amaran Awal Bencana Geologi Aliran (EWS) di Jerai Geopark Titi Hayun hari ini. - foto BERNAMA
YAN: Kawasan berisiko tinggi berlaku bencana geologi seluruh negara akan diberi keutamaan dilengkapi sistem amaran awal (EWS) bagi mengelak risiko kehilangan nyawa dan harta benda membabitkan penduduk setempat.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sudah mengenal pasti beberapa kawasan di seluruh negara perlu dipasang EWS.
"Sebagai projek perintis, kita pasang EWS di kaki Gunung Jerai selepas berlakunya aliran puing yang menyebabkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda pada 18 Ogos tahun lalu. Projek ini dibangunkan dengan kerjasama antara JMG dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
"Di Sabah dan Lembah Klang juga sering berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh, di Sabah contohnya pada 1996 pernah berlaku bencana alam sehingga meragut ratusan nyawa.
"Jadi ada kepentingan kita memasang EWS supaya penduduk berwaspada selepas mendapat amaran awal," katanya di Titi Hayun hari ini.
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/DATUK_SERI_TAKIYUDDIN_HASSAN_takik2_1656229610.jpg)
Takiyuddin melihat penderia dawai yang dipasang di kawasan aliran air sungai ketika mengadakan lawatan di Tapak Perintis Pembangunan Sistem Amaran Awal Bencana Geologi Aliran (EWS) di Jerai Geopark Titi Hayun hari ini. - foto BERNAMA
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Sains, Teknologi, Inovasi negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail dan Ketua Pengarah JMG, Hisamuddin Termidi.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, penentuan lokasi di mana sistem amaran awal terbabit akan dipasang di seluruh negara bakal ditentukan pihaknya dan JMG yang sedang membuat perancangan mengenainya.
EWS mempunyai beberapa komponen antaranya penggunaan deria wayar yang mampu mengesan aliran puing pada tahap tertentu, apabila terkena sistem amaran yang akan mengeluarkan bunyi siren yang boleh didengari penduduk sehingga sejauh 1,500 meter radius.
Selain itu, JMG juga akan mengenal pasti pembangunan baharu termasuk projek infrastruktur di kawasan berisiko tinggi yang boleh mengundang kepada kejadian yang tidak diingini.
"Sebagai contoh di Sabah ada pembangunan dibuat di kawasan berisiko tinggi sehingga pembinaan jambatan terpaksa dihentikan dan tidak boleh diteruskan atas nasihat JMG. Kita tidak mahu selepas 10 tahun projek siap akan berlaku insiden atau bencana," katanya.
Dalam kejadian pada 18 Ogos tahun lalu, bencana aliran puing di Gunung Jerai mengorbankan enam mangsa dan menyebabkan banjir lumpur di beberapa kawasan di sini dan daerah Kuala Muda.
https://www.bharian.com.my/berit ... akan-dilengkapi-ews |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|